Anak Meneladani Ibu Bapa
Cerita Kak Hana mengenai gelagat anak perempuan sulungnya, Zulaikha, yang baru berusia empat tahun, memang lucu. Zulaikha gemar bermain 'mak-mak' dengan adik-adiknya, Mariah, dua tahun dan Hakim, 15 bulan.
Ketika bermain, Zulaikha gemar membongkar almari, memakai baju atau kain Kak Hana kemudian menenyeh gincu. Selepas itu dia mengambil beg tangan Kak Hana dan pura-pura bersiap ke pejabat.
Biasanya, sebelum keluar Zulaikha akan mencium dahi Hakim sambil berkata: "Mama pergi dulu sayang, jangan nakal. Kalau nak kencing cakap bibik." Kemudian dia berpesan pada 'bibik' Mariah —"Jangan lupa tutup pintu dan jangan layan orang jahat."
Kata Kak Hana, semua perlakuan Zulaikha adalah kebiasaan yang dilakukannya sebelum ke pejabat. Dia sering berpesan kepada pembantu rumah agar mengunci pintu dan jangan melayan kedatangan orang tidak dikenali. Kak Hana juga sering mengingatkan Zulaikha, jika tidur siang jangan kencing di atas tilam. Rupa-rupanya setiap perbuatan dan kata-kata ibunya 'dirakam' Zulaikha dan dilakonkan semula.
Pengalaman membesarkan anak memang menyeronokkan kerana anda seolah-olah berhadapan dengan diri sendiri. Memang sifat semula jadi kanak-kanak, cenderung meniru tingkah laku orang lain/lebih dewasa. Ia tahap penting dalam kehidupan anak bagi melengkap 'pembentukan' fizikal dan mental.
Bagi memenuhi keperluan ini mereka akan mempelajari beberapa kemahiran berdasarkan tahap usia mereka, iaitu kemahiran mendengar, mengingat dan meniru tingkah laku, kemahiran berimajinasi serta bersoaljawab.
Kemahiran mendengar
Kebolehan ini terbentuk sejak dalam kandun~an. Setelah lahir, mereka membentuk hubungan sosial dengan orang paling rapat menerusi suara. Bayi akan tersenyum dan mengekek jika anda mengagah mereka. Biasanya jika dibiarkan keseorangan terlalu lama, bayi akan menangis dan hanya diam apabila mendengar suara/bunyi. Sebab itu sesetengah ibu menggantung alat bunyi-bunyian pada katil bayi bagi menenteramkan mereka.
Kemahiran mengingat dan meniru tingkah laku
Apabila usia semakin meningkat bayi bukan sahaja mendengar tetapi cuba menghafaz setiap perkataan didengari dan cuba menuturkannya. Fasih atau pelat bukan masalah. Mereka juga tidak pandai menilai atau memahami perkataan diucapkan.
Apabila semakin besar, kemahiran mendengar dan bertutur dilengkap dengan kebolehan meniru perbuatan/tingkah laku yang mudah. Kecenderungan mereka lebih terangsang jika gerakan dan bunyi-bunyian tampak pelik atau menghiburkan. Misalnya, kapal terbang, kereta api atau iklan televisyen. Tidak berkelip mata mereka.
Ketika ini hati berasa terhibur melihat gelagat anak. Ada kala mereka menari, menyanyi atau berlakon sesama sendiri. Kadang-kadang kita tidak faham butir pertuturan mereka tetapi tahu ia hasil pengamatan dan peniru.
Kemahiran berimaginasi
Menjelang usia tiga tahun, kanak-kanak pandai berimajinasi. Mereka mengolah setiap yang dipandang atau didengar daripada ayah, ibu, kakak, nenek atau datuk yang tinggal sebumbung dan menggabungkannya menjadi satu watak baru.
Saban hari wataknya bertukar — ada kala menjadi datuk, nenek, ibu, ayah atau kakak. Bagi melengkapkan penampilan, mereka gemar menggunakan barangan orang yang ditiru. MisaInya, memakai kain pelekat bapa, kasut tumit tinggi ibu atau tongkat datuk.
Kemahiran bersoaljawab
Menjelang usia empat tahun, anak anda bukan sahaja suka memerhati dan meniru tetapi gemar bertanya. Tahap ingin tahu mereka terlalu tinggi. "Ma, kenapa macam ni?, Kenapa macam tu? Kenapa benda ni warna ni? Kenapa itu dan kenapa ini?"
Proses ini peringkat permulaan mereka membentuk personaliti dan menambah pengetahuan dengan mengumpul maklumat baru. Pasti anda pernah disoal anak dari mana bayi datang? Jika anak sulung lelaki, mereka kerap bertanya mengapa alat kelamin adik perempuan berbeza?
Terpulanglah kepada kebijaksanaan anda untuk memberi jawapan paling munasabah kerana anak tidak pandai membezakan antara baik dan buruk dan masih belum ada minat tertentu. Ada perkara yang diminati hari ini, tidak disukai lagi keesokan hari atau minggu depan.
Membentuk kemahiran menyeluruh
Pada usia empat tahun dan lebih juga, kanak-kanak mula bijak meniru perbuatan anda secara menyeluruh. Misalnya, cara anda mencuci ambal dengan penyedut hampagas. Mereka mengamati setiap pergerakan anda. Mula-mula ambil alat penyedut hampagas, kemudian tarik wayar dan sambung pada plag, hidupkan arus elektrik dan mula mencuci. Biasanya anak anda cuba 'menyibuk'.
Jika ditegah, mereka akan berundur dan menunggu masa sesuai mengulangi perbuatan anda. Mungkin mereka akan menggunakan alat sama atau mengambil barangan lain sebagai ganti.
Kemahiran meniru falsafah dan nilai hidup
Apabila tahap pemikiran anak semakin matang, mereka bukan sahaja meniru perkara yang mudah dan jelas, tetapi nilai hidup yang tersirat. Misalnya, anak mengamati sikap anda yang suka kebersihan — cuci tangan sebelum makan, mandi bersabun, pakai baju bersih dan kemas serta rambut disisir rapi. Mereka akan menyimpan maklumat ini dan meniru bulat-bulat tanpa bantahan. Apabila semakin matang, barulah mereka berhujah atau mahu penjelasan sewajarmya.
Ketika ini anak anda ibarat kaca hablur yang mudah dibentuk apabila cair dan panas. Rebutlah kesempatan ini untuk menerapkan nilai-nilai hidup yang positif merangkumi soal agama, budaya dan tatasusila orang Timur/Melayu.
Rumah institusi sosial pertama
Proses pembentukan personaliti menerusi kemahiran ini akan berlanjutan hingga mereka dewasa. Selepas memasuki alam persekolahan, bermulalah tahap kedua — pengaruh dari luar rumah.
Justeru, pastikan anda sentiasa membimbing anak pada tahap pertama kehidupan mereka bagi menjamin kemahiran yang terbentuk dapat dijalin sempurna menjadi asas personaliti yang sihat dan kukuh.
Rumah adalah sekolah pertama anak belajar mengenai kehidupan, membentuk tingkah laku dan cara pemikiran. Menurut pakar sosiologi John Locked, persekitaran juga agen penting mempengaruhi pembentukan peribadi dan tingkah laku anak. Persekitaran ada dua — dalaman dan luaran.
Persekitaran dalaman wujud di dalam rumah. Justeru, pastikan rumah anda mempunyai empat persekitaran sihat bagi membantu perkembangan tingkah-laku anak agar positif.
Persekitaran fizikal
Ia merangkumi bentuk rumah dan kelengkapan rumahtangga. Cara anda memilih konsep hiasan dalaman berupaya mempengaruhi suasana rumah secara keseluruhan. Misalnya, cara anda memilih bentuk perabot dan menyusunnya, mengatur perhiasan, memilih cat dan corak kertas dinding serta warna dan corak langsir.
Jika anda bijak membeli perabot dan kreatif menyelaras susun atur, rumah sempit tampak kemas dan menarik. Kebersihan rumah terjaga serta pemilihan warna cat yang tepat menghasilkan suasana segar dan ceria.
Seandainya anda gemar bersukan dan mempunyai kelengkapan beriadah di rumah, pasti minat anak anda pada kegiatan riadah tersemai secara semula jadi. Begitu juga jika di rumah ada kelengkapan audio visual canggih, pasti mendorong anak anda meminati dunia hiburan. Mungkin dia jadi penyanyi, pelakon, pengarah atau sekadar 'Pak Pacak'.
Persekitaran material
Wang sangat penting untuk kehidupan. Tetapi, tidak semestinya hanya orang kaya mampu mendidik anak menjadi manusia. Wang cuma diperlukan untuk memenuhi keperluan asas kehidupan — makanan, pakaian, belanja perubatan dan persekolahan. Seandainya anda tidak berupaya membiayai persekolahan anak, pasti anda tidak dapat menjadikan mereka manusia berilmu. Anda juga memerlukan wang untuk membiayai perubatan anak terutama jika mereka menghidap penyakit kronik. Misalnya, sakit jantung berlubang — jika tidak diubati, anak anda sentiasa sakit dan tidak bertenaga untuk meneruskan kehidupan seharian. Mereka juga cepat berputus asa dan enggan berusaha kerana menganggap tidak mungkin dapat hidup lama.
Persekitaran emosi
Pastikan suasana di dalam rumah sentiasa dilimpahi kasih sayang dan kemesraan. Bapa menyayangi ibu, ibu mencintai bapa. Ibu dan bapa menayayang anak sama rata agar tidak timbul rasa 'dianaktiri' atau pilih kasih. Ibu bapa juga perlu menunjukkan rasa hormat dan kemesraan pada pembantu rumah atau penghuni lain di dalam rumah untuk membentuk tingkah laku anak agar bersopan dan berbudi bahasa.
Persekitaran budaya
Cara hidup dan kebiasaan di dalam rumah membentuk budaya sampingan yang menjadi ikutan anak. Jika penghuni mengamal cara hidup bersih, kuat agama, bersopan dan berperikemanusiaan, anak akan menerapkan nilai sama dalam membentuk personaliti.
Jika keluarga bersikap sebaliknya - pengotor, tidak bertimbang rasa dan kasar serta tidak menghargai hidup, anak mungkin menjadi lebih teruk lagi.
Latih diri melatih anak
Mendidik anak memerlukan kesabaran dan anda perlu melatih diri mengemari tanggungjawab ini. Jika anda memahami kemahiran keibubapaa dan berupaya mengenali fitrah anak, tanggungjawab menjadi lebih mudah. Hukum alam mudah — yang kecil akan besar, yang kuat akan lemah dan yang muda akan tua. Seandainya anda sentiasa berusaha memahami fitrah anak ketika mereka kecil dan sabar menghadapi kerenah mereka, pasti anak juga akan berusaha memahami gelagat anda apabila sudah tua kelak.
Get this widget

Posted by Tuan Tanah Blog
on 3:52 AM.
Filed under
Keibubapaan
.
You can follow any responses to this entry through the
RSS 2.0