Sudah sewajarnya bagi setiap Muslim mengetahui dan memahami cara bermuamalah dengan penguasa (pemerintah). Berdasarkan kepada panduan agama, para ulama telah bersepakat akan kewajipan taat kepada penguasa yang ada, baik bagi seorang imam (pemimpin) yang berkuasa terhadap seluruh negeri bagi kaum Muslimin atau ramai pemimpin yang menguasai negeri-negeri tertentu.
Dalam konteks sesebuah negara yang stabil, maka setiap orang yang berada di bawah kekuasaannya adalah wajib meyakini bahawa penguasa (pemerintah) berhak dibai’at oleh mereka. Ini merupakan kewajipan syariat. Orang yang tidak meyakini kewajipan bai’at kepada penguasa di negerinya yang menjadi kewajipannya ia terancam dengan ancaman yang keras. Berhubung perkara ini Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa melepaskan ketaatan (daripada penguasa), nescaya akan menemui Allah tanpa memiliki hujah (alasan). Dan barangsiapa meninggal tanpa ikatan bai’at, maka kematiannya (seperti) kematian jahiliah.” (Riwayat Muslim)
Dan harus diingatkan bahawa bai’at kepada penguasa bukan seperti kalung yang boleh diletakkan dan ditanggalkan sesuka hati; jika ia suka dipakainya, dan apabila tidak suka ditanggalkannya. Tetapi kewajipan bai’at tetap berlaku selagi kekuasaan penguasa masih ada atau bertapak di negeri tersebut. Seseorang Muslim tidak boleh menarik diri daripada bai’at ini.
Dasar kedua yang perlu dipatuhi terhadap pemerintah ialah mengenai bagaimana cara pendekatan yang harus diambil dalam menasihati pemerintah kerana mereka adalah manusia yang berhak menerima penghormatan daripada seluruh rakyat jelata. Islam menyaran umatnya menjauhi sikap khuruj (memberontak, penderhakaan atau lain-lain cara penentangan yang salah). Adanya kesalahan pada diri peminpin, bukan pula bermakna kita boleh memijak kehormatan mereka. Kita disyariatkan untuk menasihat dan menjelaskan kesalahan mereka dengan cara-cara yang betul, sejajar dengan situasi yang dibenarkan oleh agama. Perbuatan menegur dengan cara penderhakaan atau caci maki akan menimbulkan rasa benci dan marah di kalangan rakyat yang cintakan keamanan. Teguran yang membina terhadap pemerintah adalah teguran dan nasihat yang ikhlas, bukan perasaan hasad dengki atau berbentuk meruntuhkan segala apa yang ada di hadapannya tanpa mengira buruk baiknya atau untung ruginya .
Oleh kerana pemerintah tidak selalunya benar dan tidak mencapai darjat maksum, maka mereka yang ingin menasihatinya atau memperbetulkan kesilapannya perlulah mengikut mekanisme yang dibenarkan oleh syariat. Ini sesuai dengan panduan Rasulullah s.a.w sebagaimana sabda baginda bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t meredai untuk kamu tiga perkara, antaranya kamu menasihati mereka yang diangkat untuk menjaga urusan kamu.” (Riwayat Ahmad)
Sesunguhnya Allah s.w.t meredai di kalangan hamba-Nya yang dapat menasihati pemimpin supaya bersikap jujur dan perlulah bermuamalah dengan menjelaskan mana-mana kesalahannya melalui cara yang dibenarkan oleh syariat. Berhubung perkara ini, Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan umat baginda mengenai tiga perkara penting yang hati orang mukmin tidak sanggup untuk berlaku curang apabila melakukannya. Pertama, ikhlas beramal kepada Allah s.w.t. Kedua, dalam menasihati pemerintah, dan ketiga, dalam kesetiaan terhadap jemaah.
Tiga hal ini sepatutnya menjadi panduan bagi mukmin agar tidak mengkhianatinya, iaitu dalam melakukan ibadat dan semua urusan terutamanya semata-mata hanya kerana Allah s.w.t. Perkara ini penting untuk dipraktikkan ketika ingin menasihati pemerintah dan hendaklah diasaskan di atas rasa kasih sayang, ikhlas dan demi memperoleh keredaan-Nya semata-mata, bukan kerana sebarang kepentingan yang lain. Di atas keikhlasan itulah menyebabkannya mukmin seharusnya tidak sanggup keluar daripada ikatan taat setia kepada pemerintah, malah sentiasa mendekati bersama kumpulan jemaah pemerintah (ulil amri) tersebut. Berhubung perkara menasihati pemerintah ini, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa ingin menasihati sultan (pemerintah) dengan sebarang urusan, janganlah menampilkan kepadanya secara terang-terangan. Tetapi hendaklah memegang tangannya, lalu dibawa ke suatu tempat yang tersembunyi (pada masa itu bolehlah dia menasihatinya secara berseorangan dan jika nasihatnya diterima, maka itulah yang sebaik-baiknya dan kalau tidak, maka dia sudah pun menunaikan tanggungjawabnya sendiri.” (Riwayat Tarmizi)
Daripada hadis tersebut dapatlah difahami bahawa sesiapa yang ingin menasihati sultan (raja) atau pemerintah, tidak harus secara terbuka atau di hadapan umum secara terang-terangan atau di atas pentas di tengah-tengah perhimpunan umum. Demikianlah ajaran yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w. Bagaimanapun, ramai yang lupa kerana keghairahan ingin menonjolkan sebagai jaguh masyarakat di samping bertujuan menarik perhatian ramai supaya disanjung atau dipilih sebagai ketua.
Prinsip ketiga ialah kita harus mendengar dan taat kepada penguasa pada perkara yang bukan maksiat kepada Allah. Tidak ada kebaikan bagi masyarakat kecuali dengan jemaah. Dan urusan jemaah tidak akan berjalan lancar melainkan dengan adanya ‘imamah’ (kepimpinan). Dan tidak akan lurus atau bergerak lancar sesuatu kepimpinan kecuali dengan ketaatan. Dalam hal ini Nabi Muhammad s.a.w menegaskan dalam suatu hadis yang bermaksud: ”Barangsiapa taat kepadaku, sungguhlah ia taat kepada Allah. Barangsiapa bermaksiat (melakukan kesalahan dari sisi agama) kepadaku, sungguhlah ia telah bermaksiat kepada Allah. Barangsiapa taat kepada Amir (penguasa), sungguhlah ia taat kepadaku. Dan barangsiapa yang bermaksiat kepada Amir, sungguhlah ia bermaksiat kepadaku.” (Riwayat Bukhari)
Rasulullah s.a.w pernah ditanya, apakah harus kita memerangi mereka (pemerintah) yang melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat dengan pedang atau mengunakan sebarang kekerasan. Nabi s.a.w menjawab menerusi sabda baginda yang bermaksud: ”Tidak, selama ia menegakkan (menunaikan) solat dengan kamu. Ketahuilah, orang yang dikuasai oleh seorang penguasa, dan melihatnya mengerjakan maksiat kepada Allah, hendaknya ia membenci maksiat kepada Allah yang dilakukannya itu dan tetap tidak melepaskan ketaatan kepadanya.” (Riwayat Muslim)
Meskipun apa yang diperintah atau dilaksanakan oleh umarak tidak menyenangkan hati kita, kita tidak sepatutnya menentang atau tidak mahu menerimanya selagi apa yang diperintah dan dilaksanakan itu tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah. Ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w menerusi sabda baginda yang bermaksud: “Seseorang Muslim wajib memperkenankan (menerima) dan taat berkaitan apa sahaja (yang diperintahkan oleh ulil amri), suka atau tidak suka. Tetapi apabila ia (orang Muslim) diperintahkan berbuat maksiat, maka ketika itu tidak boleh diperkenankan (diterima), tidak juga taat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Perhatikan bagaimana perseimbangan yang indah ini jika berlaku kepincangan di mana-mana, tentu kita tidak menyukainya kerana Allah tidak memerintah dengan perkara fahsya dan juga mungkar dan tetap menegaskan kepadanya bahawa perkara tersebut adalah tetap dilarang keras dalam agama dan perlu dijauhi dan ditinggalkan tanpa sebarang kompromi lagi. Ia bermakna, perlu dipisahkan antara amalan jahat pemerintah dan perbuatannya, barulah tindakan kita akan seimbang dan adil serta ada batasannya. Tidaklah sampai rakyat akan membenci dan memusuhi pemerintah. Dan prinsip yang keempat ialah kita tidak harus sewenang-wenangnya ‘mengkafirkan’ penguasa Muslim. Takfir merupakan hak Allah, tidak boleh dilontarkan begitu sahaja atau sewenang-wenangnya kepada orang tertentu kecuali kepada orang yang berhak dikafirkan dengan bersandarkan syariat.
Oleh hal yang demikian itu, adalah menjadi hak kita untuk mentaati umarak (pemerintah). Meskipun terdapat kecacatan atau kesalahan yang dilakukan oleh mereka, namun kita tidak harus menghukumnya dengan cara penderhakaan yang ditegah oleh syariat Islam. Adalah penting bagi kita untuk memahami cara bermuamalah dengan umara bagi meluruskan sesuatu perkara atau keadaan yang telah bengkok akibat perbuatan atau tindakannya. Mempraktikkan sikap khuruj bukanlah jalan penyelesaian yang bijak dan adil.
Manusia dijadikan dengan fitrah yang menginginkan keamanan dan kesejahteraan didalam hidup. Tetapi Allah tidak mengurniakan semua manusia dengan keamanan dan kesenangan hidup di dunia mahupun di akhirat. Boleh jadi seseorang itu sangat bahagia di dunia tetapi diazab di hari akhirat dan boleh jadi seorang seseorang itu sengsara di dunia tetapi bahagia di akhirat dan boleh jadi seseorang itu bahagia atau sengsara di dunia mahupun di akhirat.
Firman Allah:
Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.
(Al-Baqarah:216)
Dalam menyelusuri jalan mengharapkan redha Allah ini, kita akan sentiasa berhadapan dengan mehnah1 dan tribulasi2 yang disediakan oleh Allah sebagai tanda ujian untuk membuktikan bahawa kita adalah golongan yang beriman kepada Allah
Firman Allah:
Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad diantaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar.
(Ali-Imran:142)
Syurga adalah sebuah tempat yang sangat diidamkan oleh manusia. Syurga juga digambarkan dengan gambaran-gambaran yang meruntun jiwa, tetapi siapakah golongan yang sebenarnya layak untuk dinobatkan ke dalam syurga?
Ujian yang dikurniakan kepada kita adalah bukti yang melayakkan kita mengecapi manisnya syurga. Tanpa ujian kita masih belum disahkan lagi kelayakkan sebagai orang yang beriman.
Ujian juga menjadi sebuah medan untuk manusia mengkoreksi diri dan bermuhasabah. Mungkin selama ini kita sentiasa berada didalam zon yang amat selesa sehingga melalaikan tanggungjawab yang diberikan oleh Allah, tetapi kerana sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim, Dia masih lagi menguji kita untuk tersedar dan kembali padaNya.
Allah menceritakan tentang ganjaran yang diperolehi oleh seseorang yang menafkahkan harta dan jiwanya kepada Allah SWT.
Firman Allah:
Sesungguhnya Allah Telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.
(At-Taubah:111)
Itulah janji yang telah ditawarkan oleh Allah dalam bentuk jual beli, walaupun kita gugur didalam perjuangan, kita gugur untuk mendapatkan rindu kepada Allah.
Firman Allah:
Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). jika kamu menderita kesakitan, Maka Sesungguhnya merekapun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya, sedang kamu mengharap dari pada Allah apa yang tidak mereka harapkan. dan adalah Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana. (An-Nisaa’:104)
Justeru sahabatku sekalian, didalam perjuangan ini tiada erti kekalahan, Allah sudah menyediakan ganjaran-ganjaran yang terbaik untuk manusia yang ikhlas berjuang dijalanNya. Biarkan setiap cercaan manusia menerpa kita, biarkan setiap ujian melanda, pastikan kita yakin dan terus maju untuk mendapatkan matlamat keredhaan Allah SWT.
SESUNGGUHNYA SYURGA ITU MANIS DAN JALAN MENUJU SYURGA ITU SANGAT PAHIT..
Glosari:
1. mehnah: bala, ujian, kesusahan
2. tribulasi: kesengsaraan
Makin diselimuti harta, kuasa dan pencapaian akademik yang tinggi, semakin bongkak seseorang itu boleh jadi. Bongkak sehingga tetamu pun tidak lagi boleh dihormati, malah dipandang rendah dan hina.
Mana perginya adab orang kita? Bukankah tetamu wajib diraikan?
Seorang tua yang datang dari kampung, diperhatikan dari atas ke bawah sambil ditertawakan. Apa itu?
Seorang guru sekolah menengah yang sudah tua memandang rendah kepada seorang guru sekolah rendah dan kemudian termalu sendirian apabila guru sekolah rendah itu seorang graduan berijazah sarjana muda.
Seorang guru sekolah menengah yang berusia pertengahan 40-an dan berpenampilan meghelit lagak Datin Wannabe, dengan bongkaknya bercerita (dalam Bahasa Inggeris) yang dia sedang menyiapkan PhDnya kepada seorang Assoc. Prof. Dr. yang sederhana penampilannya.
Menjemput dengan mengarahkan tetamu kenduri ke meja makan adalah dua perkara yang sangat berbeza.
Jika pun kamu seorang guru disiplin di sekolah, tidakkah bijak otak kamu untuk menukar topi mengikut situasi?
Apakah tetamu yang hadir dengan berpakaian sederhana, tiada aksesori mahal, berselipar dan makan menggunakan tangan itu harus dihina dan dipandang rendah?
Apakah orang yang berbaju kurung murah tidak bersulam, hand bag tidak berjenama, wajah tidak dicalit mekap itu orang yang tidak ada pendidikan dan harta?
Mungkin tiba suatu zaman yang memerlukan manusia pergi ke mana2 dengan memakai name tag sebesar kad manila bertulis..
“I am a PhD holder.”
“I am a JUSA C holder.”
“I am a graduated school teacher.”
“I am a Security Engineer.”
“I am a Geologist.”
“I am a Motivator.”
“I run my own company. I am a Boss, not like you!”
Apakah perlu menghina sesama manusia? Kamu siapa?
Jika yang dewasanya begini, tidak hairanlah yang remajanya begitu.
Saya fikir, saya seorang sahaja yang terasa dengan keadaan ini.. rupanya seluruh keluarga terasa. Ini amat mengecewakan saya.
Amalan yang disebutkan di dalam tajuk post ini ialah MENANG-MENANG. Di dalam organisasi, pelbagai panduan dari kitab motivasi dan psikologi diamalkan berkaitan sikap menang-menang. Satu demi satu langkah diajarkan kepada pemimpin organisasi, bagaimana mengamalkan menang-menang supaya menjadikan organisasi yang dipimpin cemerlang.
Langkah-langkah itu dipraktikkan – bukan main – dan berkesan pula. Sayangnya, sekadar praktis di dalam organisasi. Pulang ke rumah, tiada lagi amalan menang-menang. Sebaliknya, amalan MENANG-KALAH yang hebat dipraktikkan. Saya khususkan perbincangan ini, kepada keluarga kaum Melayu. Mengapa?
Kerana saya Melayu dan pemerhatian saya, hanyalah dalam kalangan keluarga Melayu sahaja. Bagaimana amalan dalam keluarga bangsa lain, saya tidak tahu. Apabila saya tidak tahu, saya tidak akan sentuh. Adil.
Saya juga tidak mengatakan SEMUA keluarga Melayu bersifat begitu. Hanya segelintir. Di mana, ’se’gelintir itu lebih banyak daripada dua atau tiga gelintir yang tidak begitu.
Sedari kecil, anak-anak orang Melayu telah dididik supaya MENGALAH kepada yang lebih muda / kecil.
“Kakak tidak payah mainlah. Beri sahaja pada adik.”
“Abang sudah besar, mengalahlah sedikit.”
Didikan jenis apakah ini? Tidak hairanlah jika sifat busuk hati di kalangan orang Melayu begitu sinonim.
Kerana MENANG-KALAH sudah dididik seawal usia.
Terus, adakah ini ajaran Islam? Adakah ayat Quran atau hadis yang menyatakan bahawa anak yang lebih tua, tidak layak mendapat apa-apa dan segala yang dimilikinya haruslah diserahkan kepada adik-adiknya yang lebih kecil. Jadi, jika amalan MENGALAH ini baik lagi membawa kebaikan, mengapakah pula ia tidak diajarkan dalam kepimpinan organisasi?
Jadi, dari mana pula datangnya perkataan ADIL yang disukai ramai? Bukankah ini salah satu sifat Allah – Maha Adil?
Menurut Syaikh Muhammad al-Khidr Husain (Ulama besar tafsir, kesusasteraan arab dan fiqh mazhab Maliki. Grand Syeikh of al-Azhar),
Ramai orang tidak menyedari bahawa anak adalah salah satu pemimpin umat. Hanya kerana masih tertutup dengan baju anak. Seandainya apa yang ada di sebalik bajunya dibukakan kepada kita, nescaya kita akan melihat mereka layak disejajarkan dengan para pemimpin. Akan tetapi, sunnatullah mengkehendaki agar tabir itu diselak sedikit demi sedikit melalui pendidikan. Namun, tidak semua pendidikan berhasil kecuali dengan strategi matang dan berterusan.
Rasulullah mendidik anaknya dengan cara bersikap adil dan tidak pilih kasih. Sikap pilih kasih dan tidak berlaku adil kepada anak-anak terutamanya yang masih kecil dan banyak kehendak, boleh jadi mengakibatkan tekanan dalaman, seterusnya protes dalam diri anak itu. Kita sudah pilih untuk melahirkan dan membesarkan mereka, seharusnya kita bersedia untuk berlaku adil kepada mereka Kerana hubungan kekeluargaan bukannya satu pertandingan yang perlu ada pemenang.
Ya, benar, saya tiada pengalaman mendidik anak sendiri. Saya tidak layak untuk bercakap tentang hal ini.
Namun, saya ada mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan akal untuk berfikir. Saya juga punya hati untuk merasa.
Bagaimana mahu berlaku adil dan mendidik sikap menang-menang?
Dalam organisasi, sertakan ahli mesyuarat dalam penentuan keputusan. Dalam keluarga, dalam kalangan anak-anak. Jika hanya abang atau kakak yang dimarahi dan disuruh mengalah, itu tidak adil. Itu menang-kalah. Adik menang, abang / kakak kalah. Jika adik merampas barang abang / kakak, kemudian ibu / ayah menegur adik. Adik merajuk. Biarkan sahaja dia merajuk.
Jika dipujuk dengan, “Abang / kakak, berilah adik barang itu. Biar dia diam.”
Maka, abang / kakak akan tertekan kerana barang kesayangannya dalam tangan adik, yang berkebarangkalian dirosakkan. Dan adik pula akan merasa menang, dan sentiasa akan rasa dia patut menang dan abang / kakaknya perlu sentiasa kalah. Dan adik, apabila dibiasakan menang, maka tiada lagi rasa belas kepada abang / kakaknya. Kerana dalam mindanya sudah ada tetapan
"Apa pun yang berlaku, hak aku atau bukan hak aku, jika aku mahu, pasti ibu dan ayah akan menyebelahi aku!"
Jika adik tidak dapat, dia akan melenting. Bila dia melenting, ibu dan bapa akan bingung. Bila ibu dan bapa bingung, maka abang / kakak harus mengalah supaya adik berhenti melenting.
Akhirnya? Adakah sesiapa yang kisahkan perasaan abang / kakak? Bukankah lebih baik jika ada sistem penggiliran?
Beli satu barang, kongsi dua tiga orang. Latih dengan TEGAS, penggunaan barang secara giliran. Jika tidak mahu bergilir, jatuhkan hukuman yang berpendidikan. Juga, boleh beri mereka berfikir dan buat pilihan.
Contoh; jika adik tegar mahu abang / kakak mengalah, beritahu dia, “Baik, adik ambil itu. Ibu / ayah akan berikan yang baharu untuk abang / kakak.”
Biar adik buat pilihan. Jika selepas dia memilih untuk terus mengambil barang abang / kakak, tetapi mahu juga barang baharu yang diberi kepada abang / kakak, beri peringatan kepadanya tentang pilihan yang telah dia buat. Ini didikan supaya dia bertanggung jawab atas pilihan yang dia sendiri telah lakukan. Situasi ini memerlukan ketegasan ibu bapa supaya adil dan saksama.
Ya, ini kelihatan tidak mudah. Kerana ia tidak pernah dilakukan. Tiada apa yang mudah sekiranya tidak dilakukan dan dibiasakan. Mahu lakukan atau biasakan, terpulang kepada pilihan yang dibuat. Dan jangan pula merungut atau kecil hati atau murka sekiranya tidak mendapat hormat dari anak sendiri.
Cermin diri, tanya hati.
Bukan soalan “Mengapa anak aku jadi begini?” yang perlu ditanyakan. Tetapi, “Apa yang telah aku lakukan, apa pula yang tidak aku lakukan, sehingga anakku jadi begini?”
Sikap anak-anak kecil, adalah acuan yang dicipta oleh ibu bapanya.
Sikap anak-anak kecil, adalah gambaran sikap ibu bapanya.
Sikap anak-anak kecil, adalah hasil didikan ibu bapanya.
Pilihan ada pada diri kita sendiri; sama ada mahu hasil yang baik untuk sehari sahaja, atau hasil yang baik untuk bertahun-tahun kelak.
Syukur, Tuhan beri saya masa dan peluang untuk belajar sebelum memiliki anak sendiri.
Syukur, Tuhan beri saya dan adik-beradik saya, ibu bapa yang sentiasa berusaha semampu mereka untuk berlaku adil kepada kami bertiga.
Terima kasih Abah! Terima kasih Emak!
Sebelum marah, beremosi dan bengang dengan tulisan ini, istighfar dahulu dan berfikirlah di mana benar atau dustanya tulisan saya ini. Setelah jumpa dustanya, silakan menambah atau membalasnya dengan hujah dan fakta yang lebih benar.
Wallahu alam.
(Nota: Sekiranya saya dijemput maut terlebih dahulu, anda yang membaca ini, tolong beritahu adik dan kakak saya, teruskanlah berlaku adil kelak, supaya ibu dan bapa kami terus terjaga dengan baik. Adil dan menang-menang di antara ibu bapa dengan keluarga sendiri).
“Saya kuli sahaja,”
“Saya tidak cantik,”
“Saya gemuk,”
“Saya tidak sekolah tinggi,”
“Saya orang susah,”
“Saya tidak ramai kawan,”
“Fizikal saya tidak sempurna,”
“Saya biasa-biasa sahaja,”
“Saya hanya manusia biasa, punyai kelemahan,”
Kesemua di atas dan bunyi-bunyi yang sama sepertinya adalah dikategorikan sebagai alasan.
Adakah kita melakukan sesuatu dengan lemah, disebabkan kita adalah manusia yang ‘lemah’?
Sedangkan Allah berkata,”Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dengan sebaik-baiknya,” [QS 95:4]
Jika ada seorang manusia yang mampu melakukan satu perkara luar biasa, bermakna semua manusia pun mampu melakukannya. Tidak ada beza antara manusia dengan manusia yang lain. Yang sempurna dan punyai mukjizat hanya Nabi.
Jadi? Apa lagi alasan untuk tidak berusaha?
“Saya kuli sahaja,” – Jadi? Tidak boleh cemerlang?
“Saya tidak cantik,”- Jadi? Tidak boleh tampil bergaya?
“Saya gemuk,” – Jadi? Tidak boleh aktif?
“Saya tidak sekolah tinggi,”- Jadi? Tidak boleh berjaya?
“Saya orang susah,” – Jadi? Tidak boleh kaya?
“Saya tidak ramai kawan,” - Jadi? Tidak boleh berniaga?
“Fizikal saya tidak sempurna,” – Jadi? Tidak boleh buat apa-apa langsung?
“Saya biasa-biasa sahaja,” – Jadi? Tidak boleh hebat?
“Saya hanya manusia biasa, punyai kelemahan,” – Jadi? Tidak boleh cari kekuatan?
Naomi Campbell menjadi supermodel kerana keinginan, usaha dan keyakinan dirinya.
Syanie Hisham aktif berlakon, Dina (Malaysian Idol) aktif menyanyi, berlakon dan menjadi juruhebah malah mereka selalu menyertai aktiviti-aktiviti di sana sini.
Tan Sri Lim Goh Tong datang ke Malaysia dengan tongkang.
Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary membesar dalam keluarga yang daif.
Jimmy Shanley (pengacara Trek Selebriti / Akademi Fantasia 8 ), termasuk saya sendiri pada asalnya adalah seorang yang pendiam dan pemalu.
Allahyarham Prof Ismail Salleh itu buta, dan beliau adalah Profesor.
Muhammad bin Abdullah itu miskin lagi buta huruf. Malah pernah bersembahyang duduk kerana tidak tahan kelaparan. Tetapi beliau tidak pernah putus asa dengan kekurangannya. Malah terus menerus berjuang dan tidak putus bersyukur kepada Allah. Jika mahu ucapkan alasan di hadapan saya, siap sedialah dengan jawapan bagi soalan demi soalan yang akan saya letuskan.
Dan soalan terakhir dari saya berbunyi, “Sampai bila?”
Dalam dunia ini, Kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri.. Tetapidalam kita bersendiri, Kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabatyang memahami kita. Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat,begitu juga dia. Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Kita cumamengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberidia peluang untuk menerang keadaannya.
Bagi kita, Itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri. Kitaterlupa, kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti.. Kerana kita jugaada janji yang tidak ditepati. Kita beri beribu alasan, memaksa diamenerima alasan kita.
Waktu itu, terfikirkah kita tentang perasaannya?? Seperti kita, dia jugatahu rasa kecewa.. tetapi kita sering terlupa. Untungnya mempunyai seorangkawan yang sentiasa di sisi kita pada waktu kita memerlukan dia.
Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan,harapan dan impian kita luahkan, Dia memberi jalan sebagai laluanpenyelesaian masalah. Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita, Hingga kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita.
Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangatsetiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah? Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita bolehdijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah?
Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan?
Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan kawan, Kerana dia juga seorang manusia; dia juga ada rasa takut, ada rasa bimbang, sedih dan kecewa. Diajuga ada kelemahan dan dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan. Jadilah kita kawannya itu. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkinsebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka.
Di sebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingindiluahkan, disebalik kesenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan,kita tidak tahu.. tetapi jika kita cuba jadi sahabat seperti dia, mungkinkita akan tahu.
Renungilah....
P/S: Betapa tingginya nilai persahabatan itu, jika benar-benar ikhlas kerana Allah SWT..

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.
Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu ...). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la ...) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Waktu inilah fenomena buta ayam terjadi. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya.
Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya ..."
Solat atau solat itu Allah S.W.T. yang menetapkan rukun-rukunnya. la bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, solat itu hebat. Kita akan dapat rasa bahawa Allah S.W.T. itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan macam mana wujudnya tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kuasa-Nya. Terasa kita kesempurnaan Allah S.W.T.. Kita boleh minta apa sahaja dari Allah S.W.T.. Allah S.W.T. sedia melayannya.
Solat itu adalah satu modul yang Iengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya, faham dan solat itu benar-benar dijiwai dan dihayati.
Berikut adalah beberapa contoh bagaimana solat dapat membina sifat-sifat yang positif:
1. Rajin
Sifat yang berlawanan dengan rajin ialah pemalas. Pemalas sangat dibenci Allah S.W.T.. Untuk menjadi bangsa yang kuat, kita kena rajin. Sifat rajin tidak boleh dilakon-lakon atau dibuat-buat. Mesti ada pemangkin atau pendorong yang bersifat rohaniah.
Dalam solat kita memuja dan memuji Allah S.W.T.. Kita kata Allah S.W.T. Maha Besar. Kita akui Allah S.W.T. Maha Suci. Kita akui Allah S.W.T. pentadbir dunia dan Akhirat. Hati kita rasa berAllah S.W.T., rasa Allah S.W.T. itu besar. Kita rasa Allah S.W.T. Maha Melihat, Allah S.W.T. itu ada dan Allah S.W.T. sentiasa berperanan dalam hidup kita.
Kita juga membuat janji dan ikrar bahawa semua solat, ibadah, hidup dan mati kita hanya untuk Allah S.W.T.. Solat dan ibadah dipisahkan walhal solat pun ibadah juga. Itulah tandanya solat itu ibadah yang penting, utama dan pertama dari ibadah-ibadah yang lain sama ada yang wajib atau yang sunat. Kita bertungkus-lumus membuat semua ibadah. Hidup dan mati itu Pula merangkumi aktiviti yang tidak ditentukan. Boleh jadi ianya perkara ibadah, boleh jadi tidak. Makan, rehat dan tidur boleh dijadikan ibadah ataupun tidak. Kita berikrar, perbuatan yang harus pun hendak kita jadikan ibadah. Jadi mana boleh rehat-rehat.
Kita kena aktif, sentiasa bertenaga dan bergerak. Inilah dia perkara dalam solat yang membuatkan kita cergas dan aktif, rajin dan sentiasa bergerak. Segala macam perkara yang jadi ibadah kita buat. Perkara yang harus pun kita jadikan ibadah. Maknanya solat itu membunuh kemalasan.
Kalau sesuatu kelompok itu ibadahnya banyak, baca Quran banyak, wirid dan zikir banyak, kita kata mereka hebat. Itu sebenarnya satu salah tafsir. Kita sangka mereka baik sebab mereka tidak tegur orang dan hanya beriktikaf sahaja. Tapi mereka tidak rajin dan tidak berkhidmat kepada masyarakat. Di sini konsep ibadah itu sudah silap. Itu menunjukkan mereka hanya ada ilmu tetapi tidak faham dan ilmu itu tidak dihayati. Pada orang ramai, mereka orang baik. lni satu kesalahan yang besar. Orang yang baik itu bukan setakat boleh beribadah dan tidak mengganggu orang. Orang yang baik itu, selepas ibadah mesti aktif dan mesti berkhidmat kepada orang lain dengan tenaganya, nasihat dan wang ringgit.
Ada Hadis yang bermaksud: "Yang paling baik di antara kamu ialah kamu yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain."
Sebab itu para salafussoleh, kerana ibadah mereka dihayati dan berperanan pada diri mereka, kalau selepas waktu Subuh, walaupun mereka tidak ada kerja yang khusus, mereka sengaja keluar cari-cari pasal (untuk buat kebaikan) dan cari-cari kerja. Mereka pergi tolong petik gandum, tolong mencangkul tanpa disuruh atau diminta. Kalau mereka melihat ada rumah yang bumbungnya bocor, mereka minta izin tuan rumah untuk membaikinya. Inilah solat yang melahirkan orang yang aktif.
Tapi hari ini, orang banyak solat, banyak ibadah, tetapi mereka jadi beku dan jumud. Bahkan nasib mereka pun ditentukan oleh orang lain. Bukankah ini satu kesilapan yang besar. Hanya kerana mereka itu nampak lembut, tidak ganggu orang, kuat ibadah, maka orang anggap itu baik dan bagus.
Orang yang kuat hubungannya dengan Allah S.W.T., dia mesti banyak berhubung dengan manusia. Orang yang banyak berkhidmat dengan Allah S.W.T. mesti banyak berkhidmat dengan manusia. Kalau betul takut dan cinta Allah S.W.T., akan bertambah cinta kepada manusia. Itulah sepatutnya natijah atau hasil dari solat.

2.Berjiwa Besar
Hasil dari solat ialah rasa beriman dan bertaqwa. Kalau itulah yang kita rasa maka akan timbullah rasa berjiwa besar. Sebab orang yang beriman dan bertaqwa itu Allah S.W.T. kata, "Dia orang Aku." Kalau seseorang itu sudah menjadi orang Allah S.W.T., Allah S.W.T. janjikan untuknya berbagai-bagai perkara dan Allah S.W.T. tidak, mungkir janji. Janji Allah S.W.T. pasti Allah S.W.T. tepati.
Apakah janji Allah S.W.T. kepada orang mukmin, orang bertaqwa dan orang yang sudah menjadi orang Allah S.W.T.? Allah S.W.T. janjikan kepadanya: a.Keselamatannya
b.Kewangannya
c.Kehidupannya
d.Kepandaian
e.Kemenangan
f.Allah S.W.T. bertanggungjawab dan akan mengalahkan musuh-musuhnya
Allah S.W.T. mempunyai ramai rijal yang ghaib. Angin, air dan bermacam-macam lagi adalah tentera-tentera Allah S.W.T.. Allah S.W.T. boleh arah mereka bertindak. Kalau begitulah keyakinan kita hasil dari solat, maka dari solat itulah kita akan beroleh jiwa yang besar.
Orang yang sudah jadi orang Allah S.W.T., ada sesuatu yang paling besar pada dirinya yang tidak ada pada ciptaan lain. Orang tengok gunung, tidak ada yang masuk Islam. Orang tengok laut, tidak ada yang menangis kerana merasa insaf dengan kebesaran Allah S.W.T.. Tetapi dengan melihat orang Allah S.W.T. dan orang yang bertaqwa, manusia boleh masuk Islam tanpa banyak hujah. Bila tengok sahaja orang bertaqwa, tergerak hati mereka hendak bertaubat kepada Allah.
Orang bertaqwa itu adalah ciptaan Allah S.W.T. yang paling hebat. Orang boleh terpukau dengannya. Dia pemaaf, berkasih sayang, suka mengutamakan orang lain, belas kasihan dan kalau ada orang buat jahat padanya, dibalasnya dengan kebaikan. Dia tidak boleh tengok orang susah. Pasti dibantunya.
Orang yang berjiwa besar sentiasa mahu melahirkan tanda kebesaran Allah S.W.T. pada dirinya. Allah S.W.T. Maha Pemurah, dia pun mahu jadi pemurah. Allah S.W.T. buat baik pada orang yang buat jahat pada-Nya, dia pun mahu buat balk pada orang yang buat jahat padanya. Betapa tidak, orang sekutukan Allah S.W.T., maki Dia, mengata Dia, tolak suruhan-Nya, tidak solat, berjudi, minum arak tapi Allah S.W.T. tetap layan mereka. Allah S.W.T. tetap bagi makan minum, anak dan isteri kepada mereka.
Maha Besar Allah S.W.T. yang menghadiahkan solat. Siapa yang menghayatinya, dia akan berjiwa besar. Bangsa yang menghayatinya akan menjadi bangsa yang berjiwa besar.
3.Berani
Dalam solat, ada ubat atau pil untk menjadikan orang penakut itu berani. Malahan sebelum mengangkat takbir solat pun, sudah dirasakan betapa hebatnya kekuasaan Allah S.W.T. dan betapa lemahnya makhluk ini. Datang kesedaran bahawa makhluk tidak ada kuasa langsung. Malaikat, jin, harimau dan manusia lain semuanya setaraf, setitik pun tidak ada kuasa dan kekuatan. Cuma kalau ada perbezaan antara satu sama lain adalah kerana Allah S.W.T. bagi sedikit kelebihan kepada dia. Allah S.W.T. bagi kelebihan tidak sama kepada setiap makhluk.
Yang kuat dan berkuasa itu Allah S.W.T., bukan makhluk. Bukan malaikat, bukan jin, bukan manusia dan bukan harimau. Yang patut dan layak ditakuti ialah Allah S.W.T.. Bila Allah S.W.T. sebenar-benarnya ditakuti, maka akan lenyaplah takut dan akan timbullah rasa berani terhadap sesama makhluk.
Ini termasuk juga takut kepada miskin, sakit, hilang pangkat dan jawatan, hilang pengaruh, mati dan sebagainya. Kalau kita sedar semua itu adalah dari Allah S.W.T., maka takut kita itu akan berpindah dari perkara-perkara tersebut kepada Allah S.W.T..
Begitu juga rasa takut kepada bencana alam seperti banjir besar, gunung berapi, gempa bumi dan wabak penyakit. Allah S.W.T. kata jadi maka jadilah. Allah S.W.T. kata tidak maka tidaklah. Akan datang rasa takut kepada Allah S.W.T. lebih dari takut kepada bencana alam itu. Takut pada Allah S.W.T. itu adalah takut yang hak dan mesti dikekalkan. Takut pada makhluk adalah takut yang batil. la mesti dibuang.
4.Disiplin
Dalam solat kita berikrar dan berjanji bahawa hidup dan mati kita pun untuk Allah S.W.T.. Kalau pengakuan macam ini boleh dibuat dan dihayati dengan sepenuh hati, kita akan jadi seorang manusia yang penuh disiplin. Kalau satu bangsa boleh buat pengakuan yang seperti ini, maka bangsa itu akan menjadi satu bangsa yang berdisiplin.
Bila disebut mati, semua orang yakin akan mati. Bila mati ertinya kembali kepada Allah S.W.T.. Kembali ertinya pulang ke tempat asal. Maksudnya, asal kita adalah dari Allah S.W.T.. Datang dari Allah S.W.T., kembali pun kepada Allah S.W.T.. Maka perlulah kita hidup dan mati kerana Allah S.W.T..
Bila datang dari Allah S.W.T. dan kembali pun kepada Allah S.W.T. maka mesti ada jalan dari dan kepada Allah S.W.T.. Bila hidup dan mati kita ikrarkan untuk Allah S.W.T. maka sudah tentu kita akan ikut jalan ini. Jalan ini ialah syariat Allah S.W.T.. Kita akan ikut syariat Allah S.W.T.. Taat dan patuh kepada syariat ini ialah disiplin.
Disiplin termasuk ciri satu bangsa yang agung. Sebaliknya, bangsa yang tidak berdisiplin, siapa sahaja yang melihat akan mentertawakan bahkan akan memperlecehkan mereka. Tidak ada disiplin di sudut manapun akan jadi bahan kelakar bagi orang Yahudi. lni dapat kita lihat pada bangsa yang di Timur Tengah. Mereka sungguh tidak berdisiplin. Naik baspun berebut-rebut, tidak tahu hendak beratur. Itu sebab bangsa Yahudi tidak hormat, tidak takut dan tidak gerun dengan mereka. Itu sebab Yahudi berani memperkotak katik dan menzalimi mereka.
5.Sabar
Sabar juga termasuk ciri satu bangsa yang agung. Sifat sabar Iebih utama bagi pemimpin. Oleh itu sifat sabar yang tertinggi dihadiahkan Allah S.W.T. kepada pemimpin, kepada para rasul terutamanya yang Ulul `Azmi. Sabar adalah syarat utama bagi seorang pemimpin.
Dalam solat ada ubat dan pil untuk menjadikan seseorang itu penyabar. Sebelum kita mulakan solat pun sudah ada didikan untuk kita bersabar sama ada kita sedar ataupun tidak, sebab hendak solat bukannya senang, Iebih-Iebih lagi bagi orang yang belum khusyuk.
Hendak solat pun satu ujian. Bukan senang hendak bangun tidur di waktu pagi untuk solat Subuh. Sebab itu, sesetengah orang dia duduk-duduk dulu. Dia menung dulu. Mengenangkan terpaksa ke bilik air. Kalau tidak sabar, kita tidak akan boleh buat. Kalau tidak sabar, boleh jadi kita akan tidur semula. Sebelum solat pun sudah perlu banyak sabar.
Dalam solat Iebih-Iebih lagi. Bila kita sebut: "Maliki yau middin" yang bermaksud: "Allah S.W.T. yang memerintah di hari Akhirat" ia jadi pemangkin untuk kita bersabar. Bersabar melaksanakan segala suruhan Allah S.W.T.. Bersabar meninggalkan segala larangan Allah S.W.T. kerana takutkan Neraka dan inginkan Syurga-Nya. Biarlah bersusah-susah sedikit. Biarlah sakit sedikit. Biarlah tidak dapat mengikut kehendak nafsu asalkan di Akhirat kita selamat. Dengan itu ia memudahkan kita untuk bersabar.
Samalah dengan orang yang mengejar dunia. Hendak sekolah bukan seronok. Hendak belajar bukan senang. Hendak masuk universiti bukan mudah. Tetapi demi untuk menjadi pandai, supaya dapat kerja dan jawatan yang tinggi, bersusah payah pun dibuat juga. Orang boleh bersabar menghadapi apa yang dia benci, apa yang dia tidak suka dan apa yang menjemukannya, asalkan matlamat dan cita-citanya tercapai.
TIDAK dapat disangkal lagi bahawa aras keyakinan dan motivasi diri banyak bergantung kepada harga diri (self-esteem) seseorang pelajar.
Saya akan huraikan beberapa strategi yang boleh dilakukan oleh diri sendiri guru serta ibu bapa untuk membantu seseorang pelajar meningkatkan aras harga diri.
STRATEGI MEMBINA HARGA DIRI
PERANAN PELAJAR
(a) Bebaskan diri anda daripada sifat teragak-agak atau dikongkong dengan persoalan bolehkah saya? dalam melaksanakan sesuatu perkara yang positif. Oleh itu jangan melayani perasaan ini dan teruskan tindakan anda tanpa ragu-ragu untuk memenuhi potensi yang ada pada diri anda.
(Contoh: Ketika menjawab soalan jangan rasa takut, malu, atau merasakan jawapan anda tidak baik atau tidak setanding dengan rakan-rakan yang lain, tetapi terus jawab dengan sepenuh hati dan sebaik mungkin kemudian tunggu apa yang akan diterangkan oleh guru.
Ingat! anda adalah seorang pelajar dan sedang belajar.
Oleh itu kesilapan yang berlaku ialah perkara biasa dan ia merupakan salah satu daripada proses pembelajaran).
(b) Hormatilah keperluan dan impian yang anda ingini. Kenal pasti apa kehendak anda sebenarnya dan jangan cuma merungut sahaja.
(Contoh: Tanya pada diri sendiri apa yang anda ingini sebagai seorang pelajar? Anggapkan keinginan anda itu boleh dicapai dan setanding dengan orang lain).
(c) Tetapkan matlamat atau objektif yang boleh dicapai pada satu-satu situasi. Kemudian buat perancang dan lakukan tindakan yang spesifik dan sistematik untuk mencapai matlamat tersebut.
(Contoh: Sewaktu belajar tetapkan masa, latihan yang hendak dibuat, dan tetapkan apa yang anda boleh pelajari dalam masa yang anda akan gunakan nanti. Gunakan pelbagai teknik untuk mencapai objektif anda seperti hafalan, catatan dan lakaran rajah atau peta minda. Uji diri sendiri dengan membuat latihan.)
PERANAN GURU
(a) Galakkan pelajar memberi pendapat dan gunakan alat pemikir (thinking tools) sewaktu berinteraksi.
Contoh: apabila pelajar berinteraksi jangan biarkan pelajar diam, gelang kepala atau berkata tidak tahu. Galakkan mereka berkata sesuatu walaupun jawapan tersebut tidak tepat.
Kaitkan jawapan pelajar dengan jawapan sebenarnya supaya terdapat anggapan pelajar bahawa jawapan yang diberikan adalah baik tetapi hanya tidak menepati kehendak soalan sahaja.
(b) Anggapkan apa yang diimpikan oleh pelajar ialah sesuatu yang terbaik pada dirinya. Beri bimbingan dan panduan bagaimana untuk mencapai keinginan pelajar. Contoh: Jika keinginan pelajar mendapat A dalam mata pelajaran Matematik, terangkan persiapan dan langkah satu persatu yang perlu dilakukan ke arah mencapainya.
(c) Bantu pelajar untuk menentukan apa yang perlu dilakukan sewaktu belajar. Contoh: sewaktu pelajar mengulangkaji, pastikan mereka menetapkan tugas yang mereka hendak lakukan, berapa banyak latihan yang hendak dibuat dan tindakan susulan yang perlu diambil.
PERANAN IBU BAPA
(a) Ibu bapa harus menggalakkan anak-anak mencuba dan jangan merendahkan kebolehan mereka.
(b) Mengambil tahu tentang keinginan dan cita-cita anak. Memberi perangsang dan sokongan terhadap apa yang dicita-citanya.
(c) Pastikan anak-anak mempunyai masa yang terancang. Memantau untuk melihat apa yang harus anak-anak lakukan dalam masa mereka berada di rumah. Mewujudkan keadaan di rumah yang selesa untuk belajar tanpa banyak gangguan.
CABARAN DALAM KEHIDUPAN
Setiap kehidupan akan menghadapi cabaran. Cabaran dalam satu definisi a situation or difficulty that tests ones ability to do something yang membawa maksud satu situasi atau kesukaran yang menguji kebolehan kita membuat sesuatu.
Situasi - Cabaran hadir dalam pelbagai situasi, sama ada yang berkaitan dengan perubahan cuaca, perubahan teknologi, perubahan fizikal, mental atau rohani.
Kesukaran - setiap situasi akan disusuli dengan kesukaran.
Menguji kebolehan - setiap kesukaran pula adalah bertujuan untuk menguji kebolehan. Kebolehan berfikir, kebolehan bersabar dan kebolehan menyelesaikan masalah.
Membuat sesuatu - Kebolehan yang diuji memerlukan kita melakukan sesuatu tindakan. Tanpa tindakan setiap cabaran akan berakhir dengan kegagalan tetapi jika disusuli dengan tindakan maka cabaran akan bertukar kepada kejayaan.
Berdasarkan huraian di atas, sebagai seorang pelajar anda harus bijak mengharungi setiap cabaran yang diterima dengan hati yang terbuka, sabar dan mengambil inisiatif menyelesaikannya. Antara cabaran yang mungkin anda hadapi dan tindakan penyelesaian adalah seperti berikut:
1. Kesuntukan masa belajar
Sediakan jadual belajar yang strategik (apa yang hendak dibuat pada masa yang spesifik)
2. Kesukaran memahami sesuatu perkara atau topik.
Beri tumpuan
- Rujuk pelbagai sumber
- Tanya guru
- Buat latihan tambahan.
3. Bosan ketika belajar
- Tentukan hala tuju (apa yang hendak diulang kaji).
- Perlu ada bahan (pelbagai bahan).
- Perlu ada aktiviti (membuat latihan, menghafal, membuat nota, membuat peta minda dan lain-lain).
4. Tidak boleh beri tumpuan ketika belajar (di sekolah)
- Cuba ubah tempat duduk.
- Jangan duduk dengan rakan yang suka bersembang ketika guru mengajar.
- Cari tempat duduk di hadapan atau yang tidak mempunyai halangan.
- Pastikan anda tahu apakah topik yang sedang diajar oleh guru.
- Bertanya guru dengan segera ketika terkeliru.
- Catat nota ringkas atau lakarkan peta.
5. Tidak boleh beri tumpuan ketika belajar (di rumah)
- Pastikan tempat belajar tidak terlalu berselerak.
- Terhindar suasana kebisingan (atau gangguan radio dan TV).
- Adakan pelbagai aktiviti yang dirancangkan (tidak tertumpu pada satu cara belajar sahaja).
- Pastikan sekurang-kurangnya anda telah memahami 40 peratus daripada apa yang diajar di kelas.
- Boleh menjemput rakan untuk berbincang.
Oleh DR. ISMAIL ZAIN
Semua orang inginkan kejayaan. Tidak kira apa jantinanya, keturunan, warna kulit, suku kaum, adat budaya, latarbelakang pendidikan, keadaan ekonomi, atau apa sahaja faktor perbezaaan; semuanya ingin berjaya. Cuma bezanya, ada yang mempunyai keinginan yang membuak-buak, dan ada yang hanya suam-suam kuku sahaja.
Saya percaya, anda adalah antara manusia terpilih yang mempunyai keghairahan yang tinggi untuk berjaya. Jauh di dalam sanubari anda, ada satu perasaan yang kuat untuk membuktikan sesuatu, dan untuk mendapatkan sesuatu. Anda mahu melakukan apa yang anda sukai, ataupun sekurang-kurangnya anda mahu menyukai apa yang anda sedang lakukan. Memang perasaan itu sungguh ketara dalam jiwa anda sekarang.
Kenapa saya berani berkata begitu? Ya, cetusan hati untuk menjamah buku dan membelek-belek buku ini sudah cukup untuk membuktikan kesimpulan saya sebentar tadi. Dalam negara Malaysia ini, berapa peratuskah yang sanggup meluangkan masa bersama buku self help? Saya kira jumlahnya tidaklah begitu banyak (walaupun kadarnya meningkat dengan begitu hebat sekali sekarang!), dan anda adalah yang terpilih untuk menjadi sebahagian daripada mereka. Tahniah saya ucapkan!
Untuk tidak mengecewakan keghairahan anda itu, saya rasa tidak adil untuk memanjangkan lagi pendahuluan perbincangan kita ini. Ya, anda membaca tulisan ini untuk berkongsi dengan saya tentang apakah idea-idea untuk mencapai kejayaan. Dan pada kali ini, saya ingin menerangkan kepada anda lima (5) perkara penting yang anda perlu miliki jika ingin memulakan langkah kejayaan. Perkara-perkara tersebut saya istilahkan sebagai LIMA PERALATAN UNTUK BERJAYA:
1. Peralatan Pertama: Peta yang jelas dan terperinci.
Perjalanan menuju kejayaan adalah umpama satu pengembaraan. Ia bermula daripada satu titik mula dan berakhir di destinasi yang ingin ditujui. Orang yang hendak mengembara mesti membawa peta. Jika tidak, mereka tidak tahu di mana hendak bermula dan di mana hendak berakhir. Begitu juga dengan kejayaan. Anda perlu memiliki ‘peta’ sebelum melangkah ke arah destinasi kejayaan anda. Apakah peta itu? Ya, ia adalah perancangan hidup anda. Apa yang anda inginkan dalam masa setahun nanti? Bagaimana pula dalam masa lima tahun? Sepuluh tahun? Tiga puluh tahun?
‘Peta hidup’ anda mestilah ditentukan secara terperinci. Tentukan persoalan apa, bila, siapa, berapa, dan di mana. Lewis Walker, iaitu bekas Presiden Institut Jururunding Kewangan Berdaftar di Amerika Syarikat berkata, ada satu perkara yang mesti dielakkan dalam membuat sasaran; “Jangan buat matlamat dan sasaran yang kabur”. Beliau berkata, jika anda berniat untuk memiliki sebuah kabin di atas bukit suatu masa nanti, ‘suatu masa’ nanti adalah satu kekaburan. ‘Bukit’ juga suatu kekaburan.
Kenapa begitu? Kerana kekaburan menyebabkan anda tidak jelas bagaimana cara untuk mendapatkannya. Harga tanah di atas bukit pada tahun ini sudah tentu berbeza jika dibandingkan dengan harganya pada 30 tahun akan datang. Begitu juga teknologi dan spesifikasi kabin juga pasti berlainan 30 tahun nanti.
2. Peralatan Kedua: Kompas
Peta tanpa kompas semacam tidak berguna sahaja. Anda perlukan satu alat untuk memberikan anda isyarat tentang di mana anda sekarang, dan ke mana arah yang seterusnya. Begitu juga dengan kejayaan hidup ini.
‘Kompas’ yang saya maksudkan adalah panduan hidup. Ia boleh jadi prinsip-prinsip agama, budi pekerti, norma sejagat, peraturan, undang-undang dan sebagainya. Cuma dalam konteks anda yang sedang mengejar kejayaan peribadi, mentor dan role model adalah antara ‘kompas’ yang perlu anda miliki.
Pilihlah mentor di kalangan role model yang telah berjaya dalam bidang yang anda ingin ceburi. Jika anda ingin menjadi seorang artis yang berjaya, anda mungkin boleh menimbang nama-nama seperti Siti Nurhaliza, Mawi, M.Nasir, dan Jamal Abdillah. Kalau anda bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan, mungkin anda patut meneliti nama-nama Syed Mokhtar Al Bukhari, Ananda Krishan, dan Vincent Tan.
Tetapi mungkin mereka hanya sesuai untuk menjadi role model, bukannya mentor. Mentor ialah seseorang yang rapat dan boleh meluangkan masa dengan anda. Lainlah jika anda mempunyai nombor telefon bimbit Siti Nurhaliza dan boleh mengajaknya makan pasembur malam ini, maka anda layak untuk menjadi apprenticenya. Jika tidak, maka carilah mentor yang boleh memberikan komitmen untuk menjadi mentor anda (Atau anda mungkin juga boleh menyertai rancangan Mentor di TV3!- gurau sahaja).
3. Peralatan Ketiga: Perisian Hidup (Life Software) Yang Berguna
Manusia ini adakalanya boleh disamakan dengan komputer. Komputer yang baik dan berguna ialah yang mempunyai pelbagai perisian yang berfaedah dan boleh digunakan (sudah tentu juga perisian yang asli dan dilesenkan!). Bayangkan jika anda diberikan dengan sebuah komputer berspesifikasi terkini- tetapi penuh dengan perisian porno, virus, cecacing, dan bahasa-bahasa penggodam (hacking); sudah tentu ia tidak akan memberikan faedah kepada hidup anda.Begitu juga dengan diri kita semua. Diri anda dan diri saya sekarang mempunyai ribuan program yang telah diinstalkan sejak dari kecil lagi. Bolehkah anda public speaking? Adakah anda seorang yang peramah? Adakah anda bersedia mengambil risiko? Adakah anda seorang yang sensitif? Anda suka Matematik? Anda pemandu berhemat? Anda suka menolong orang?
Itu adalah antara soalan untuk mengesan sebahagian kecil ‘perisian-perisian’ dalam diri anda. Sedar ataupu tidak, ianya akan mempengaruhi kerja dan tindakan kita seharian. Jika kita yakin bahawa kita tidak boleh public speaking, maka kita akan sedaya upaya cuba untuk mengelak daripada melakukannya, bukan begitu? Lebih baik mati daripada berceramah di atas pentas! Seorang kawan saya pernah berkata.
Jadi, jika anda ingin berjaya, buangkanlah perisian-perisian lama yang negatif dalam diri anda. ‘Install’ perisian baru yang dapat membantu perjalanan kejayaan anda. Bagaimana caranya? Ada banyak kaedah yang sukar untuk diterangkan di sini. Carilah buku-buku tentang percubahan sikap dan hidup yang banyak di pasaran. Ataupun anda boleh menyertai modul-modul yang dikendalikan oleh saya di firma bina insan kami. Selamat memiliki program yang baru!
4. Peralatan Keempat: Perisai Yang Perkasa
Perjalanan menuju kejayaan bukanlah semudah membaca artikel ini (walaupun bagi sesetengah orang, membaca artikel seperti ini sudahpun terlalu sukar sekali!). Bermacam ujian dan dugaan pasti akan mendatang; dan anda tidak punya banyak pilihan- melainkan berhadapan dengannya. Ujian dan dugaan boleh datang dalam pelbagai bentuk; contohnya seperti perancangan yang gagal, sabotaj, sumber yang terhad, khianat, konflik dalaman, stress, dengki, perubahan polisi, rintangan masyarakat, dan bermacam lagi.
Untuk menghadapi semua ini, anda perlu mempersiapkan diri dengan pertahanan jiwa yang kental dan kesabaran yang tinggi. Fokuskan kepada matlamat yang diimpikan, dan bukalah minda untuk mengatasi semua yang mendatang. Anggaplah semua dugaan sebagai satu ‘permainan yang menyeronokkan’. Dan setiap kali anda berjaya mengatasinya, berilah ganjaran peribadi sebagai pendorong di masa hadapan kelak. Sepanjang pengalaman saya mengendalikan bengkel menghadapi konflik, menyelesaikan masalah, dan menguruskan stress; saya dapati bahawa orang yang berjaya mempunyai kemahiran yang tinggi untuk berhadapan dengan situasi2 yang getir dalam hidup mereka. Kenapa tidak anda?
5. Peralatan Kelima: Krew-krew Yang Komited
Anda tidak berseorangan, dan anda tidak boleh berseorangan dalam dunia ini. Anda perlukan orang lain, dan begitu juga sebaliknya. Dalam menempa tugu kejayaan, anda tidak boleh mengenepikan faktor ini- teamwork. Anda perlu tahu bagaimana untuk mencipta suasana kerja berpasukan, dan bagaimana untuk bekerja secara berpasukan.
Lain padang, lain belalang. Banyak udang, banyaklah ragamnya. Begitu juga dengan manusia ini. Apa yang anda perlu lakukan ialah; tahu bagaimana untuk menguruskan kerenah yang berbagai, dan bagaimana untuk membina komitmen yang tinggi di kalangan mereka. Mungkin anda boleh mendapatkan beberapa buku tulisan saya berkenaan dengan kerja berpasukan ini. Ada beberapa edisi yang sudahpun diterbitkan di pasaran.
Penutup
Saya sudahpun berkongsi dengan anda beberapa peralatan yang anda perlukan untuk melangkah ke arah kejayaan. Tinggal anda yang perlu mendapatkannya dan menggunakannya untuk mencapai kejayaan yang diinginkan. Selamat melangkah ke arah kejayaan!!!Ahmad Fadzli Yusof adalah konsultan kanan di RK Training & Management. Beliau telahpun menerbitkan lebih 15 buah buku self help yang mendapat sambutan yang hangat di pasaran. Bidang latihan yang diceburi adalah personal productivity, team work, stress management, leadership and attitude changing. Beliau adalah pengasas kepada siri self help ‘Resipi Kejayaan’ yang dijangka mempunyai lebih 30 tajuk pada tahun hadapan. Menjadi kolumnis di beberapa buah majalah dan sering muncul sebagai tetamu dalam radio dan TV. Beliau boleh dihubungi di laman http://rktraining.com atau email di fadzliyusof@resipikejayaan.com .