Makin diselimuti harta, kuasa dan pencapaian akademik yang tinggi, semakin bongkak seseorang itu boleh jadi. Bongkak sehingga tetamu pun tidak lagi boleh dihormati, malah dipandang rendah dan hina.
Mana perginya adab orang kita? Bukankah tetamu wajib diraikan?
Seorang tua yang datang dari kampung, diperhatikan dari atas ke bawah sambil ditertawakan. Apa itu?
Seorang guru sekolah menengah yang sudah tua memandang rendah kepada seorang guru sekolah rendah dan kemudian termalu sendirian apabila guru sekolah rendah itu seorang graduan berijazah sarjana muda.
Seorang guru sekolah menengah yang berusia pertengahan 40-an dan berpenampilan meghelit lagak Datin Wannabe, dengan bongkaknya bercerita (dalam Bahasa Inggeris) yang dia sedang menyiapkan PhDnya kepada seorang Assoc. Prof. Dr. yang sederhana penampilannya.
Menjemput dengan mengarahkan tetamu kenduri ke meja makan adalah dua perkara yang sangat berbeza.
Jika pun kamu seorang guru disiplin di sekolah, tidakkah bijak otak kamu untuk menukar topi mengikut situasi?
Apakah tetamu yang hadir dengan berpakaian sederhana, tiada aksesori mahal, berselipar dan makan menggunakan tangan itu harus dihina dan dipandang rendah?
Apakah orang yang berbaju kurung murah tidak bersulam, hand bag tidak berjenama, wajah tidak dicalit mekap itu orang yang tidak ada pendidikan dan harta?
Mungkin tiba suatu zaman yang memerlukan manusia pergi ke mana2 dengan memakai name tag sebesar kad manila bertulis..
“I am a PhD holder.”
“I am a JUSA C holder.”
“I am a graduated school teacher.”
“I am a Security Engineer.”
“I am a Geologist.”
“I am a Motivator.”
“I run my own company. I am a Boss, not like you!”
Apakah perlu menghina sesama manusia? Kamu siapa?
Jika yang dewasanya begini, tidak hairanlah yang remajanya begitu.
Saya fikir, saya seorang sahaja yang terasa dengan keadaan ini.. rupanya seluruh keluarga terasa. Ini amat mengecewakan saya.
Amalan yang disebutkan di dalam tajuk post ini ialah MENANG-MENANG. Di dalam organisasi, pelbagai panduan dari kitab motivasi dan psikologi diamalkan berkaitan sikap menang-menang. Satu demi satu langkah diajarkan kepada pemimpin organisasi, bagaimana mengamalkan menang-menang supaya menjadikan organisasi yang dipimpin cemerlang.
Langkah-langkah itu dipraktikkan – bukan main – dan berkesan pula. Sayangnya, sekadar praktis di dalam organisasi. Pulang ke rumah, tiada lagi amalan menang-menang. Sebaliknya, amalan MENANG-KALAH yang hebat dipraktikkan. Saya khususkan perbincangan ini, kepada keluarga kaum Melayu. Mengapa?
Kerana saya Melayu dan pemerhatian saya, hanyalah dalam kalangan keluarga Melayu sahaja. Bagaimana amalan dalam keluarga bangsa lain, saya tidak tahu. Apabila saya tidak tahu, saya tidak akan sentuh. Adil.
Saya juga tidak mengatakan SEMUA keluarga Melayu bersifat begitu. Hanya segelintir. Di mana, ’se’gelintir itu lebih banyak daripada dua atau tiga gelintir yang tidak begitu.
Sedari kecil, anak-anak orang Melayu telah dididik supaya MENGALAH kepada yang lebih muda / kecil.
“Kakak tidak payah mainlah. Beri sahaja pada adik.”
“Abang sudah besar, mengalahlah sedikit.”
Didikan jenis apakah ini? Tidak hairanlah jika sifat busuk hati di kalangan orang Melayu begitu sinonim.
Kerana MENANG-KALAH sudah dididik seawal usia.
Terus, adakah ini ajaran Islam? Adakah ayat Quran atau hadis yang menyatakan bahawa anak yang lebih tua, tidak layak mendapat apa-apa dan segala yang dimilikinya haruslah diserahkan kepada adik-adiknya yang lebih kecil. Jadi, jika amalan MENGALAH ini baik lagi membawa kebaikan, mengapakah pula ia tidak diajarkan dalam kepimpinan organisasi?
Jadi, dari mana pula datangnya perkataan ADIL yang disukai ramai? Bukankah ini salah satu sifat Allah – Maha Adil?
Menurut Syaikh Muhammad al-Khidr Husain (Ulama besar tafsir, kesusasteraan arab dan fiqh mazhab Maliki. Grand Syeikh of al-Azhar),
Ramai orang tidak menyedari bahawa anak adalah salah satu pemimpin umat. Hanya kerana masih tertutup dengan baju anak. Seandainya apa yang ada di sebalik bajunya dibukakan kepada kita, nescaya kita akan melihat mereka layak disejajarkan dengan para pemimpin. Akan tetapi, sunnatullah mengkehendaki agar tabir itu diselak sedikit demi sedikit melalui pendidikan. Namun, tidak semua pendidikan berhasil kecuali dengan strategi matang dan berterusan.
Rasulullah mendidik anaknya dengan cara bersikap adil dan tidak pilih kasih. Sikap pilih kasih dan tidak berlaku adil kepada anak-anak terutamanya yang masih kecil dan banyak kehendak, boleh jadi mengakibatkan tekanan dalaman, seterusnya protes dalam diri anak itu. Kita sudah pilih untuk melahirkan dan membesarkan mereka, seharusnya kita bersedia untuk berlaku adil kepada mereka Kerana hubungan kekeluargaan bukannya satu pertandingan yang perlu ada pemenang.
Ya, benar, saya tiada pengalaman mendidik anak sendiri. Saya tidak layak untuk bercakap tentang hal ini.
Namun, saya ada mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan akal untuk berfikir. Saya juga punya hati untuk merasa.
Bagaimana mahu berlaku adil dan mendidik sikap menang-menang?
Dalam organisasi, sertakan ahli mesyuarat dalam penentuan keputusan. Dalam keluarga, dalam kalangan anak-anak. Jika hanya abang atau kakak yang dimarahi dan disuruh mengalah, itu tidak adil. Itu menang-kalah. Adik menang, abang / kakak kalah. Jika adik merampas barang abang / kakak, kemudian ibu / ayah menegur adik. Adik merajuk. Biarkan sahaja dia merajuk.
Jika dipujuk dengan, “Abang / kakak, berilah adik barang itu. Biar dia diam.”
Maka, abang / kakak akan tertekan kerana barang kesayangannya dalam tangan adik, yang berkebarangkalian dirosakkan. Dan adik pula akan merasa menang, dan sentiasa akan rasa dia patut menang dan abang / kakaknya perlu sentiasa kalah. Dan adik, apabila dibiasakan menang, maka tiada lagi rasa belas kepada abang / kakaknya. Kerana dalam mindanya sudah ada tetapan
"Apa pun yang berlaku, hak aku atau bukan hak aku, jika aku mahu, pasti ibu dan ayah akan menyebelahi aku!"
Jika adik tidak dapat, dia akan melenting. Bila dia melenting, ibu dan bapa akan bingung. Bila ibu dan bapa bingung, maka abang / kakak harus mengalah supaya adik berhenti melenting.
Akhirnya? Adakah sesiapa yang kisahkan perasaan abang / kakak? Bukankah lebih baik jika ada sistem penggiliran?
Beli satu barang, kongsi dua tiga orang. Latih dengan TEGAS, penggunaan barang secara giliran. Jika tidak mahu bergilir, jatuhkan hukuman yang berpendidikan. Juga, boleh beri mereka berfikir dan buat pilihan.
Contoh; jika adik tegar mahu abang / kakak mengalah, beritahu dia, “Baik, adik ambil itu. Ibu / ayah akan berikan yang baharu untuk abang / kakak.”
Biar adik buat pilihan. Jika selepas dia memilih untuk terus mengambil barang abang / kakak, tetapi mahu juga barang baharu yang diberi kepada abang / kakak, beri peringatan kepadanya tentang pilihan yang telah dia buat. Ini didikan supaya dia bertanggung jawab atas pilihan yang dia sendiri telah lakukan. Situasi ini memerlukan ketegasan ibu bapa supaya adil dan saksama.
Ya, ini kelihatan tidak mudah. Kerana ia tidak pernah dilakukan. Tiada apa yang mudah sekiranya tidak dilakukan dan dibiasakan. Mahu lakukan atau biasakan, terpulang kepada pilihan yang dibuat. Dan jangan pula merungut atau kecil hati atau murka sekiranya tidak mendapat hormat dari anak sendiri.
Cermin diri, tanya hati.
Bukan soalan “Mengapa anak aku jadi begini?” yang perlu ditanyakan. Tetapi, “Apa yang telah aku lakukan, apa pula yang tidak aku lakukan, sehingga anakku jadi begini?”
Sikap anak-anak kecil, adalah acuan yang dicipta oleh ibu bapanya.
Sikap anak-anak kecil, adalah gambaran sikap ibu bapanya.
Sikap anak-anak kecil, adalah hasil didikan ibu bapanya.
Pilihan ada pada diri kita sendiri; sama ada mahu hasil yang baik untuk sehari sahaja, atau hasil yang baik untuk bertahun-tahun kelak.
Syukur, Tuhan beri saya masa dan peluang untuk belajar sebelum memiliki anak sendiri.
Syukur, Tuhan beri saya dan adik-beradik saya, ibu bapa yang sentiasa berusaha semampu mereka untuk berlaku adil kepada kami bertiga.
Terima kasih Abah! Terima kasih Emak!
Sebelum marah, beremosi dan bengang dengan tulisan ini, istighfar dahulu dan berfikirlah di mana benar atau dustanya tulisan saya ini. Setelah jumpa dustanya, silakan menambah atau membalasnya dengan hujah dan fakta yang lebih benar.
Wallahu alam.
(Nota: Sekiranya saya dijemput maut terlebih dahulu, anda yang membaca ini, tolong beritahu adik dan kakak saya, teruskanlah berlaku adil kelak, supaya ibu dan bapa kami terus terjaga dengan baik. Adil dan menang-menang di antara ibu bapa dengan keluarga sendiri).

KALI pertama menghantar anak ke sekolah untuk mendaftar ke tahun satu mengingatkan saya kenangan semasa bersekolah dahulu. Yuran sekolah dan duit buku masa kini boleh dibuat belanja dapur seminggu.
Sebagai ibu bapa muda yang kali pertama merasakan pengalaman menghantar anak ke sekolah, pelbagai perkara dapat didengari apabila bercampur dengan ibu bapa yang sudah berpengalaman.
Selain kisah ekonomi yang dibualkan semasa menunggu anak di hari pertama, kebanyakan ibu bapa juga prihatin dengan masalah disiplin anak-anak muda lepasan sekolah yang disifatkan pintar tetapi nakal.
Menyalahkan pihak sekolah 100 peratus rasanya tidak patut kerana apa guna menjadi ibu bapa jika melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada orang lain. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh memainkan peranan dengan mengadakan pertemuan secara malar untuk mengatasi disiplin murid sejak dari tahun satu lagi.
Apabila melihat keletah anak-anak yang seronok di dalam kelas dan hanya seorang guru yang lemah-lembut mengajar 30 orang anak murid, kadang-kadang terasa kita sebagai ibu bapa terlalu meletakkan seluruh kepercayaan kepada guru.
Kita juga mudah menyalahkan guru apabila anak kita gagal mencapai gred yang bagus. Dalam masa yang sama, guru perlu menjaga kesemua anak murid secara adil. Ibu bapa yang hadir ada yang tersenyum dan ada yang resah melihat anak yang masih rebung cuba dilentur sebaik mungkin. Itu baru 40 minit berlalu.
Apabila ibu bapa sudah kembali bekerja, bagaimana pula cara guru itu mengajar anak kita menjadi orang dalam erti kata sebenar. Ibu bapa wajar mengambil berat disiplin anak-anak dengan selalu menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada guru-guru untuk bertanyakan tentang sahsiah diri anak-anak.
Kita sebagai ibu bapa faham guru juga ada keluarga untuk dijaga. Namun tanggungjawab sebagai guru yang bersama anak-anak kita selama hampir lapan jam sehari adalah besar kerana disiplin mereka amat perlu dibentuk sebagai bayangan masa depan mereka yang akan mewarisi kepimpinan negara. Hari ini teknologi canggih adakalanya menyebabkan anak-anak cepat menjadi pintar dan ada guru yang jauh ketinggalan sehingga setiap kerja yang diberi mampu diselesaikan sebaik mungkin.
Justeru itu, guru-guru perlu berlari seiring dengan kepantasan teknologi agar anak-anak murid lebih menghormati mereka. PIBG perlu bekerjasama erat dalam menangani anak-anak murid yang nakal tetapi pintar. Mungkin mereka boleh melompat masuk ke tahun dua atau tiga dengan satu ujian khas supaya masa mereka tidak dibazirkan dengan belajar perkara yang sama.
Ibu bapa sudah pasti mampu mengenal pasti perangai dan kemampuan anak mereka dalam pelajaran.
PIBG juga perlu aktif mengadakan pertemuan untuk mengenal potensi anak-anak ini untuk melangkau kelas supaya mereka cepat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Dengan ini, kita tidak lagi membazirkan waktu membentuk pelajar-pelajar yang nakal tetapi pintar kerana bosan berada dalam suasana pembelajaran yang tidak kondusif. Kita ada anak-anak pintar yang sudah terbukti. Walau apa pun kaedah membentuk anak-anak ini, yang penting adalah perkembangan rohani mereka mestilah seiring dengan kejayaan akademik agar tidak tergelincir dari norma-norma masyarakat timur.
PIBG perlu bekerjasama dalam membentuk murid yang berpotensi untuk pergi lebih jauh dan dalam masa yang sama, disiplin mereka dapat ditingkatkan sebaik mungkin agar tidak terlibat dengan masalah sosial.
Guru-guru juga perlu bermuhasabah diri jika ada anak murid yang membuatkan minda intelek mereka tercabar. Seeloknya guru mampu menambah nilai ilmu seiring dengan zaman siber. Hanya kerjasama erat antara ibu bapa dan guru dapat membentuk masa depan murid yang lebih cemerlang di masa depan.
Selain itu, pemantauan disiplin mampu menjana minda murid agar prestasi pembelajaran mereka terus meningkat. Justeru itu, PIBG perlu bersatu demi masa depan negara yang lebih baik.
Tanggungjawab dan hak suami.
Antara tanggungjawab suami menyediakan nafkah kepada isteri berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu menurut cara yang sepatutnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 233)
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dan bagi isteri-isteri kamu, hendaklah kamu memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik.” (Hadis riwayat Muslim).
Suami juga mesti bergaul dengan isteri dengan cara yang baik. Firman Allah yang bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik.” (Surah an-Nisa’, ayat 19)
Tanggungjawab dan hak isteri.
Isteri wajib mentaati suami dalam perkara yang bukan maksiat.
Isteri juga tidak boleh membenarkan orang lain memasuki rumah tanpa kebenaran dan keredaan suami.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memijak kakinya ke tempat tidurmu (memasuki rumahmu). (Hadis riwayat Muslim)
Begitu juga dengan maruah, setiap isteri mesti menjaga kemuliaan, kehormatan dan harta benda suami. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan sebaik-baik perkara yang disimpan oleh lelaki? Ia adalah isteri yang salihah; apabila suami melihatnya, dia menggembirakan suaminya, apabila suami menyuruhnya, dia taat, dan apabila suaminya tidak ada bersamanya, dia menjaga dirinya dan harta benda suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Tanggungjawab bapa terhadap anak.
Islam juga mewajibkan bapa secara khusus memberi nafkah kepada anak. Menjaga kebajikan anak, termasuk menyediakan dalam kadar munasabah keperluan untuk hidup, belajar dan kesihatan.
Begitu juga anak wajib dididik supaya sentiasa beribadat dan berakhlak mulia. Tugas mendidik berada di atas kedua ibu dan bapa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Didiklah anak kamu dengan tiga perkara; cintakan Nabi kamu, cintakan ahli keluarga Nabi kamu dan membaca al-Quran.” (Hadis riwayat Dailami)
Apa yang kami kemukakan hanyalah ringkasan dari hak dan tanggungjawab berkeluarga yang lebih luas. Di harap agar pasangan yang memerlukan rujukan lanjut, dapat merujuk buku-buku berkaitan untuk maklumat terperinci.
IHSAN dan insan adalah asas hubungan manusia dengan Allah dan manusia sesama manusia. Hubungan menegak dan merentas ini menjadi tunggak kepada memahami fitrah hidup. Kehidupan sebagai seorang Islam tidak boleh memutuskan dirinya dengan Allah dan tidak boleh pula memutuskan dirinya dengan manusia.
Ihsan Allah kepada hamba dan makhluk akan sentiasa ada dan sewajarnya ihsan insan sesama insan juga harus berlaku supaya integrasi antara kedua-duanya menepati.
Manusia akan terus berada dalam fitrah sekiranya ihsan Allah itu disuburkan dalam hidup. Jiwa keihsanan apabila subur dalam kehidupan sesama insan ia menjadikan masyarakat berada dalam keadaan sejahtera dan harmoni.

Keluarga adalah unit kecil masyarakat yang menjadi tunggak kepada terbentuknya negara. Ia adalah unit asas yang boleh menjadi faktor penyumbang kepada kekuatan negara atau sebaliknya.
Dalam konteks Islam asas pembinaan keluarga yang baik terletak kepada kekuatan keihsanan dan keinsanan yang dimiliki. Kualiti keihsanan yang dimiliki oleh seorang ayah dan ibu banyak menentukan proses pembentukan watak anak-anak.
Rasulullah menghubungkan pentingnya pengaruh ibu bapa (faktor sekitar) membentuk anak-anak supaya terus berada dalam keadaan fitrah atau diibaratkan sebagai kain putih. Rasulullah juga menyebut antara faktor yang menghubungkan yang sudah pergi dengan yang tinggal ialah kesolehan anak-anaknya. Terbentuknya anak-anak menjadi soleh atau toleh bergantung kepada kualiti keihsanan kedua-dua orang tuanya.
Ibu bapa yang soleh dan solehah adalah gambaran ketinggian ihsannya yang membolehkan suasana rumah tangga atau keluarga terbina dalam keadaan terbaik untuk membentuk anak-anak ke arah acuan terunggul.
Keihsanan bapa dan ibu kepada Allah adalah gambaran akidahnya yang mantap, takwa tinggi dan iman kental terhadap Allah. Jiwa kehambaannya (patuh dan taat) adalah teguh, di samping menginsafi peranan kekhalifahannya (sebagai ibu dan bapa) sentiasa subur pada dirinya.
Sifat kasih dan sayang Allah kepada hamba dan makhluk sentiasa terpancar dalam dirinya. Rahmah Allah menurunkan ilmu menerusi al-Quran sentiasa menjadikan ibu dan ayah menyandarkan kitab suci itu sebagai sumber petunjuk dan maklumat. Ihsan Allah memberikan kekuatan akal dan hati kepada ibu bapa digunakan supaya anak-anak menjadi pintar dan cerdik. Ihsan Allah memberikan ibu bapa harta dan sumber dijadikan asas untuk menggerakkan kehidupan keluarga secara yang Allah reda.
Bayangkan sekiranya ihsan daripada Allah dipancarkan semula dalam bentuk watak keibubapaan yang mulia, anak-anak pasti bertuah memiliki pendidik awal di rumah. Ini kerana contoh atau qudwah yang ada dalam persekitaran awal hidupnya adalah teladan serasi dan selari dengan fitrah dirinya. Inilah sebenarnya kekurangan dalam banyak keluarga Islam menyebabkan perkembangan naluri meneladani ibu bapa sebagai qudwah kosong.
Harus diinsafi bahawa umur anak-anak pada peringkat awal lahirnya hingga akil baligh adalah tempoh hidup yang amat kritikal bagi dirinya. Pada peringkat inilah proses membina asas sikap dan tingkah laku serta cara hidup yang asas akan berlaku.
Sekiranya ibu bapa tidak memahami faktor pertumbuhan akal, jiwa dan emosi serta tingkah laku anak dengan pendekatan ilmu dan asuhan baik, ia boleh menyebabkan mereka kehilangan arah dalam memahami makna diri, persekitaran dan baik buruk sesuatu perkara. Akhirnya, akan menjadikan mereka remaja yang tidak tentu arah serta hilang pedoman dan petunjuk.
Asas utama yang menjadi tunggak kekuatan keluarga ialah ilmu mengenai pendidikan dan keterampilan keibubapaan
Cerita Kak Hana mengenai gelagat anak perempuan sulungnya, Zulaikha, yang baru berusia empat tahun, memang lucu. Zulaikha gemar bermain 'mak-mak' dengan adik-adiknya, Mariah, dua tahun dan Hakim, 15 bulan.
Ketika bermain, Zulaikha gemar membongkar almari, memakai baju atau kain Kak Hana kemudian menenyeh gincu. Selepas itu dia mengambil beg tangan Kak Hana dan pura-pura bersiap ke pejabat.
Biasanya, sebelum keluar Zulaikha akan mencium dahi Hakim sambil berkata: "Mama pergi dulu sayang, jangan nakal. Kalau nak kencing cakap bibik." Kemudian dia berpesan pada 'bibik' Mariah —"Jangan lupa tutup pintu dan jangan layan orang jahat."
Kata Kak Hana, semua perlakuan Zulaikha adalah kebiasaan yang dilakukannya sebelum ke pejabat. Dia sering berpesan kepada pembantu rumah agar mengunci pintu dan jangan melayan kedatangan orang tidak dikenali. Kak Hana juga sering mengingatkan Zulaikha, jika tidur siang jangan kencing di atas tilam. Rupa-rupanya setiap perbuatan dan kata-kata ibunya 'dirakam' Zulaikha dan dilakonkan semula.
Pengalaman membesarkan anak memang menyeronokkan kerana anda seolah-olah berhadapan dengan diri sendiri. Memang sifat semula jadi kanak-kanak, cenderung meniru tingkah laku orang lain/lebih dewasa. Ia tahap penting dalam kehidupan anak bagi melengkap 'pembentukan' fizikal dan mental.
Bagi memenuhi keperluan ini mereka akan mempelajari beberapa kemahiran berdasarkan tahap usia mereka, iaitu kemahiran mendengar, mengingat dan meniru tingkah laku, kemahiran berimajinasi serta bersoaljawab.
Kemahiran mendengar
Kebolehan ini terbentuk sejak dalam kandun~an. Setelah lahir, mereka membentuk hubungan sosial dengan orang paling rapat menerusi suara. Bayi akan tersenyum dan mengekek jika anda mengagah mereka. Biasanya jika dibiarkan keseorangan terlalu lama, bayi akan menangis dan hanya diam apabila mendengar suara/bunyi. Sebab itu sesetengah ibu menggantung alat bunyi-bunyian pada katil bayi bagi menenteramkan mereka.
Kemahiran mengingat dan meniru tingkah laku
Apabila usia semakin meningkat bayi bukan sahaja mendengar tetapi cuba menghafaz setiap perkataan didengari dan cuba menuturkannya. Fasih atau pelat bukan masalah. Mereka juga tidak pandai menilai atau memahami perkataan diucapkan.
Apabila semakin besar, kemahiran mendengar dan bertutur dilengkap dengan kebolehan meniru perbuatan/tingkah laku yang mudah. Kecenderungan mereka lebih terangsang jika gerakan dan bunyi-bunyian tampak pelik atau menghiburkan. Misalnya, kapal terbang, kereta api atau iklan televisyen. Tidak berkelip mata mereka.
Ketika ini hati berasa terhibur melihat gelagat anak. Ada kala mereka menari, menyanyi atau berlakon sesama sendiri. Kadang-kadang kita tidak faham butir pertuturan mereka tetapi tahu ia hasil pengamatan dan peniru.
Kemahiran berimaginasi
Menjelang usia tiga tahun, kanak-kanak pandai berimajinasi. Mereka mengolah setiap yang dipandang atau didengar daripada ayah, ibu, kakak, nenek atau datuk yang tinggal sebumbung dan menggabungkannya menjadi satu watak baru.
Saban hari wataknya bertukar — ada kala menjadi datuk, nenek, ibu, ayah atau kakak. Bagi melengkapkan penampilan, mereka gemar menggunakan barangan orang yang ditiru. MisaInya, memakai kain pelekat bapa, kasut tumit tinggi ibu atau tongkat datuk.
Kemahiran bersoaljawab
Menjelang usia empat tahun, anak anda bukan sahaja suka memerhati dan meniru tetapi gemar bertanya. Tahap ingin tahu mereka terlalu tinggi. "Ma, kenapa macam ni?, Kenapa macam tu? Kenapa benda ni warna ni? Kenapa itu dan kenapa ini?"
Proses ini peringkat permulaan mereka membentuk personaliti dan menambah pengetahuan dengan mengumpul maklumat baru. Pasti anda pernah disoal anak dari mana bayi datang? Jika anak sulung lelaki, mereka kerap bertanya mengapa alat kelamin adik perempuan berbeza?
Terpulanglah kepada kebijaksanaan anda untuk memberi jawapan paling munasabah kerana anak tidak pandai membezakan antara baik dan buruk dan masih belum ada minat tertentu. Ada perkara yang diminati hari ini, tidak disukai lagi keesokan hari atau minggu depan.
Membentuk kemahiran menyeluruh
Pada usia empat tahun dan lebih juga, kanak-kanak mula bijak meniru perbuatan anda secara menyeluruh. Misalnya, cara anda mencuci ambal dengan penyedut hampagas. Mereka mengamati setiap pergerakan anda. Mula-mula ambil alat penyedut hampagas, kemudian tarik wayar dan sambung pada plag, hidupkan arus elektrik dan mula mencuci. Biasanya anak anda cuba 'menyibuk'.
Jika ditegah, mereka akan berundur dan menunggu masa sesuai mengulangi perbuatan anda. Mungkin mereka akan menggunakan alat sama atau mengambil barangan lain sebagai ganti.
Kemahiran meniru falsafah dan nilai hidup
Apabila tahap pemikiran anak semakin matang, mereka bukan sahaja meniru perkara yang mudah dan jelas, tetapi nilai hidup yang tersirat. Misalnya, anak mengamati sikap anda yang suka kebersihan — cuci tangan sebelum makan, mandi bersabun, pakai baju bersih dan kemas serta rambut disisir rapi. Mereka akan menyimpan maklumat ini dan meniru bulat-bulat tanpa bantahan. Apabila semakin matang, barulah mereka berhujah atau mahu penjelasan sewajarmya.
Ketika ini anak anda ibarat kaca hablur yang mudah dibentuk apabila cair dan panas. Rebutlah kesempatan ini untuk menerapkan nilai-nilai hidup yang positif merangkumi soal agama, budaya dan tatasusila orang Timur/Melayu.
Rumah institusi sosial pertama
Proses pembentukan personaliti menerusi kemahiran ini akan berlanjutan hingga mereka dewasa. Selepas memasuki alam persekolahan, bermulalah tahap kedua — pengaruh dari luar rumah.
Justeru, pastikan anda sentiasa membimbing anak pada tahap pertama kehidupan mereka bagi menjamin kemahiran yang terbentuk dapat dijalin sempurna menjadi asas personaliti yang sihat dan kukuh.
Rumah adalah sekolah pertama anak belajar mengenai kehidupan, membentuk tingkah laku dan cara pemikiran. Menurut pakar sosiologi John Locked, persekitaran juga agen penting mempengaruhi pembentukan peribadi dan tingkah laku anak. Persekitaran ada dua — dalaman dan luaran.
Persekitaran dalaman wujud di dalam rumah. Justeru, pastikan rumah anda mempunyai empat persekitaran sihat bagi membantu perkembangan tingkah-laku anak agar positif.
Persekitaran fizikal
Ia merangkumi bentuk rumah dan kelengkapan rumahtangga. Cara anda memilih konsep hiasan dalaman berupaya mempengaruhi suasana rumah secara keseluruhan. Misalnya, cara anda memilih bentuk perabot dan menyusunnya, mengatur perhiasan, memilih cat dan corak kertas dinding serta warna dan corak langsir.
Jika anda bijak membeli perabot dan kreatif menyelaras susun atur, rumah sempit tampak kemas dan menarik. Kebersihan rumah terjaga serta pemilihan warna cat yang tepat menghasilkan suasana segar dan ceria.
Seandainya anda gemar bersukan dan mempunyai kelengkapan beriadah di rumah, pasti minat anak anda pada kegiatan riadah tersemai secara semula jadi. Begitu juga jika di rumah ada kelengkapan audio visual canggih, pasti mendorong anak anda meminati dunia hiburan. Mungkin dia jadi penyanyi, pelakon, pengarah atau sekadar 'Pak Pacak'.
Persekitaran material
Wang sangat penting untuk kehidupan. Tetapi, tidak semestinya hanya orang kaya mampu mendidik anak menjadi manusia. Wang cuma diperlukan untuk memenuhi keperluan asas kehidupan — makanan, pakaian, belanja perubatan dan persekolahan. Seandainya anda tidak berupaya membiayai persekolahan anak, pasti anda tidak dapat menjadikan mereka manusia berilmu. Anda juga memerlukan wang untuk membiayai perubatan anak terutama jika mereka menghidap penyakit kronik. Misalnya, sakit jantung berlubang — jika tidak diubati, anak anda sentiasa sakit dan tidak bertenaga untuk meneruskan kehidupan seharian. Mereka juga cepat berputus asa dan enggan berusaha kerana menganggap tidak mungkin dapat hidup lama.
Persekitaran emosi
Pastikan suasana di dalam rumah sentiasa dilimpahi kasih sayang dan kemesraan. Bapa menyayangi ibu, ibu mencintai bapa. Ibu dan bapa menayayang anak sama rata agar tidak timbul rasa 'dianaktiri' atau pilih kasih. Ibu bapa juga perlu menunjukkan rasa hormat dan kemesraan pada pembantu rumah atau penghuni lain di dalam rumah untuk membentuk tingkah laku anak agar bersopan dan berbudi bahasa.
Persekitaran budaya
Cara hidup dan kebiasaan di dalam rumah membentuk budaya sampingan yang menjadi ikutan anak. Jika penghuni mengamal cara hidup bersih, kuat agama, bersopan dan berperikemanusiaan, anak akan menerapkan nilai sama dalam membentuk personaliti.
Jika keluarga bersikap sebaliknya - pengotor, tidak bertimbang rasa dan kasar serta tidak menghargai hidup, anak mungkin menjadi lebih teruk lagi.
Latih diri melatih anak
Mendidik anak memerlukan kesabaran dan anda perlu melatih diri mengemari tanggungjawab ini. Jika anda memahami kemahiran keibubapaa dan berupaya mengenali fitrah anak, tanggungjawab menjadi lebih mudah. Hukum alam mudah — yang kecil akan besar, yang kuat akan lemah dan yang muda akan tua. Seandainya anda sentiasa berusaha memahami fitrah anak ketika mereka kecil dan sabar menghadapi kerenah mereka, pasti anak juga akan berusaha memahami gelagat anda apabila sudah tua kelak.
nak ialah amanah atau pertaruhan yang Allah amanahkan kepada kita supaya kita menjaga dan memelihara mereka baik mengikut landasan Islam. Ibubapa mesti bertanggungjawab bukan saja di dunia bahkan di akhirat sewaktu berhadapan dengan Allah kelak. Dalam rangka memelihara amanah Allah itu, ibu bapa adalah diwajibkan berusaha dengan bersungguh-sungguh melaksanakan didikan agama. Tegasnya mendidik anak beragama itu adalah wajib hukumnya (bukan setakat pendidikan untuk UPSR, PMR atau SPM), Sebaliknya ibu bapa yang melalaikan tugas amanah ini adalah berdosa.
Rasulullah saw bersabda: "Hendaklah kamu pastikan anak-anakmu belajar agama dan hendaklah kamu baguskan akhlaknya." Setiap anak yang dilahirkan itu bersih fitrahnya. Adalah menjadi tugas ibu bapa untuk mencorakkan kehidupan anak-anak seterusnya sama ada untuk menjadikannya baik atau sebaliknya. Sabda Nabi saw:
"Semua anak yang dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan yang suci bersih. Maka kesalahan ibu bapalah menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi."
Hadith tersebut menunjukkan kepada kita betapa beratnya tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anaknya. Kesalahan kita mendidiklah maka anak-anak sekarang menjadi tidak keruan hidupnya dengan pelbagai masalah sosial seperti bohsia, bohjan dan aktiviti lepak yang semakin menjadi. Sungguh malang seribu kali malang, sudahlah ibu bapa tidak memberi didikan agama kepada mereka, ibu bapa sendiri tidak berpengetahuan agama dan paling dahsyat lagi, mereka asyik mengumpul dan terpengaruh dengan pujukan dunia. Menjadi korporat adalah satu lagi keparat (maaf - bukan semua). Oleh kerana hendakkan kemewahan yang berlipat ganda terabai tugas sebagai bapa dan suami. Anak maharajalela dan isteri pula main kayu tiga.
Berapa banyak hari ini anak-anak yang tidak tahu membaca Al-Quran. Tidak tahu solat bahkan Fatihah pun tak boleh baca, jauh sekali dari menghafalnya. Masya'Allah ada yang tak tahu menyebut syahadah walaupun sudah baligh. Inikah wawasan kita membangunkan kemanusiaan anak-anak.
Akibatnya kebanyakan anak-anak hari ini terdiri daripada mereka yang hanya pandai berfoya-foya, pandai menyakitkan hati dan meracuni jiwa serta menderhakai orang-orang tuanya. Akhirnya mereka akan menjadi anak yang liar. Ibu bapa seolah-olah memelihara anak-anak haiwan sama seperti anak harimau, kucing atau ayam. Betapa tidaknya, haiwan tidak solat samalah seperti anak-anak itu. Bahkan haiwan lebih baik sebab tidak diberikan akal. Ketika ini baru ibu bapa mengeluh bukan menyalahkan dirinya tetapi salahkan anak-anak dan paling teruk menyalahkan orang lain. Sebenarnya semua ini berpunca daripada ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang didikan agama terhadap anak-anak.
Ibu bapa mesti mengambil berat tentang soal pemakanan anak-anak. Bukan diperhatikan tentang khasiat vitamin makanan itu saja tetapi pastikan kehalalannya. Adakah ia dari sumber yang halal atau haram. Ini penting kerana mengikut Nabi 'daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka neraka lebih utama untuknya'. Sekarang ini perkara seperti ini jarang diberikan penekanan tambahan pula amalan ekonomi yang berasaskan perbankan non-Islamik. Bagaimana diharapkan amalan soleh jika pemakanan tidak lagi soleh. Makanan yang baik membuahkan amalan baik (soleh), manakalan makanan yang tidak baik menghasilkan amalan yang tidak baik juga (tholeh).
Satu kisah pada zaman Nabi, seorang sahabat yang berjemaah bersama nabi kerap keluar dari jamaah awal sebelum sempat berdoa. Nabi bertanyakan kenapa balik tergesa-gesa sebelum berdoa. Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya. Sahabat itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak layak masuk syurga. Mendengarkan penjelasan itu, Nabi terdiam dan tidak berkata apa-apa, hanya memperhatikannya sahaja dia pulang ke rumah.
Begitulah orang dahulu mengambil berat soal pemakanan anaknya. Sebaliknya kita bagaimana? Adakah kita bertanya dari mana buah jambu itu diambil?
Didikan seterusnya yang mesti dilakukan oleh ibu bapa ialah solat. Nabi saw pernah bersabda:
"Perintahkan anak-anakmu mengerjakan solat bila dia berumur 7 tahun dan pukullah dia apabila tidak mengerjakan solat semasa berusia 10 tahun dan pisahkan tempat tidur mereka."
Hadith ini adalah merupakan seruan wajib solat, Kanak-kanak itu belum lagi wajib bersolat tetapi yang wajib ialah bapa menyuruhnya bersembahyang. Anak itu belum wajib kerana dia belum cukup umur (baligh). Jika bapa tak beratkan dia bersolat ketika ini, agak sukar kanak-kanak itu bersolat apabila baligh. Budaya solat mesti dimulakan sejak 7 tahun lagi.
Soal baligh ini pada pedapat sekarang berbeza. Ada berpendapat selepas bersara baru nak solat. Maksudnya bila pencen (55 tahun) baru masuk umur baligh. Paling sedih ada yang tidak baligh sampai ke mati sebab tak solat.
Nabi Muhammad saw menyuruh (mewajibkan) kita pukul anak berumur 10 tahun yang tidak mahu solat. Tetapi adakah kita pukul? Kita mungkin pukul kalau tidak membuat kerja sekolah atau tidak lulus periksa. Jarang kedengaran kita memukul kerana tidak bersolat. Manakan hendak memukul anak tidak bersolat sedangkan ibu bapa sendiri tidak bersolat. Takkan ketam nak ajar anaknya berjalan betul. Ibu bapa dewasa ini tidak bimbang anak-anak walaupun perempuan tidak balik hingga larut malam tetapi yang dibimbangkan agaknya kalau anak-anak ayamnya belum pulang waktu senja.
Pendidikan juga bukan bermula ketika anaklahir. Bahkan semasa dalam kandungan ibu sudah mula proses tarbiyah. Sebab itu ibu-ibu mengandung perlu pastikan apa yang dia makan, apa yang dia buat dan apa yang dia baca. Sifat ibu akan diwarisi oleh anak. Kalau suka menyanyi atau menonton TV, anak yang lahir kelak akan menurut apa acuan yang dibentuk. Ramaikah ibu-ibu membaca Al-Quran semasa mengandungkan anaknya? Sedih melihat wanita pada masa ini yang asyik keluar masuk kilang saja hatta hingga larut malam masih lagi di kilang. Haiwan pun tidur waktu malam, kita manusia masih bertungkus lumus di kilang. Ajaran siapa ini? Allah peruntukkan masa siang untuk cari rezeki, masa malam untuk rehat. Kita siang malam sama saja mencari rezeki. Orang alim dulu siang bekerja malam beribadat. Kita siang kerja malam kerja. Bila nak beribadat? ... Sorry, no time ...Bukan lelaki saja bahkan perempuan lebih ramai kerja shift malam. Manakan suami tak jadi liar? Habis semua disapu kadang-kadang anak sendiri jadi mangsa bila lihat isterinya tak ada. Nak salahkan siapa? Apabila terlalu pentingkan kebendaan duniawi beginilah akibatnya. Kemanisan beribadat tidak akan tercapai bagi mereka yang mengejar keduniaan. Kalau 90% usaha dicurahkan untuk dunia berapa peratus agaknya untuk akhirat. Kalau 10% ada juga tapi bila dah teruk kerja badan dah letih sudah tentu 0% untuk ibadat. Al-Quran ada menjelaskan 'Kaum lelaki adalah penjaga kaum wanita." Sekarang nak jaga apa? Asyik kerja siang malam. Anak isteri masing-masing punya pasal. Kau nak buat apa terpulang.. asalkan mewah hidup.
Perasaan kasih sayang sudah luput dari ibu bapa. Ibu bapa dewasa ini kebanyakannya sudah tidak menyayangi anak-anak lagi. Buktinya mereka tidak ambil pusing hal-hal keagamaan mereka. Ada yang sanggup membiarkan anak-anak terjun ke dalam api neraka. Anak kera pun kesihan melihat anaknya ditembak pemburu.
Pernah seorang sahabat Nabi hairan tercengang melihat Nabi mencium pipi cucunya lantas bertanya kepada nabi. Dia bertanya kerana dia sendiri tidak pernah melayan anak atau cucu dengan mesra begitu. Nabi lantas menasihatkannya supaya mencurahkan kasih sayang kepada kanak-kanak.
Dalam satu hadith lain, Nabi Muhammad bersabda "Memandang muka anak-anak dengan rasa syukur akan rahmat Allah itu sama seperti melihat muka nabinya." Begitu besar pahala ibu bapa memuliakan anak-anak. Oleh itu kita hendaklah memelihara mereka dengan baik kerana menurut Nabi mengajar satu adab yang baik kepada mereka adalah lebih baik daripada memberi sedekah satu cupak makanan setiap hari.
Insya-Allah ganjaran pahala yang banyak akan diberikan kepada ibu bapa yang baik terhadap keluarganya. Oleh itu hendaklah kita sedar benar-benar bahawa kita akan menemui Allah (mati). Apatah lagi umur kita kian sehari kian bertambah. Apabila bertambah umur kita bererti bertambah hampir pula kita dengan alam barzakh (kubur) atau bertambah hampir kita akan menemui Allah. Kita semua akan kembali kepada Allah yang menjadikan kita. Allah akan bertanyakan apa amalan kita semasa di dunia ini. Apa yang kita bawa untuk dipersembahkan kepada Allah? Adakah harta benda yang kita cari selama ini, pagi petang, siang malam, bertungkus lumus macam lipas kudung, tak pernah renggang dengan telefon bimbit, melonggokkan harta, menambahkan saham hingga lupa pada saham akhirat dan lupa kepada Allah yang memberikan kita harta itu. Dapatkah harta yang banyak itu menebus dosa-dosa yang kita buat di dunia ini?
Atau adakah pangkat dan bintang yang berjela-jela dibawa untuk dipersembahkan kepada Allah? Dengan pangkat, kedudukan dan darjat terasa seolah-olah kita sudah jadi orang besar dan terasa bongkak dengan Allah. Dengan orang miskin dipandang hina. Dengan ulama dipandang leceh. Adakah pangkat dan darjat dapat menebus dosa yang dilakukan di dunia ini. Dapatkah ia menyelamatkan dari api neraka? Semua ini tidak berlaku di akhirat.
Memelihara anak dengan baik adalah ibadat tetapi bagaimana pula jika disebabkan terlalu sayangkan anak hingga tak sempat solat Maghrib, adakah ibadat juga? Adakah anak itu akan menolong semasa berhadapan dengan Allah kelak? Jawapannya tidak.
Perkara yang menyelamatkan kita pada hari yang tidak bermanfaat harta dan anak pinak ialah jiwa yang suci lagi tenteram. Hati yang suci hanya kepunyaan orang beriman. Orang kafir, fasik dan munafik tidak tenteram hatinya. Orang beriman itu apa tandanya? Mereka yang beribadat ikhlas kerana Allah. Ikhlas memainkan peranan penting kerana menurut hadith "Semua manusia rugi kecuali orang berilmu. Semua orang berilmu rugi kecuali beramal. Semua orang beramal rugi kecuali yang ikhlas."
Oleh itu, perlu mencari keikhlasan dalam ibadat. Caranya dengan menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid di samping kita berdoa kepada Allah supaya kita dilimpah dengan kurnia, taufiq dan hidayah-Nya. Bukan mudah mendapat anugerah Allah. Untuk mendapatkan anugerah dan kurnia sultan pun terpaksa lobi-melobi apatah lagi untuk kurniaan Allah.
Sebelum kita dimatikan oleh Allah, maka janganlah kita sia-siakan hidup dan umur kita ini dengan perkara-perkara yang melalai dan merugikan. Ingatlah 1000 tahun di dunia hanya dikira 1 hari di akhirat. Allah mencabar dan mengingatkan kita dalam firmanNya:
"Adakah kamu anggap, bahawa Kami jadikan kamu dengan percuma (sia-sia) sedangkan kamu akan kembali kepada Aku?" - (Al-Mukminun:115)
Ayat di atas adalah sebagai ingatan Allah kepada kita yang suka membuang masa dengan sia-sia. Allah menegaskan lagi dalam Al-Quran dengan firman-Nya: "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku."
Adakah kita kira kita tidak mati atau lambat lagi akan mati? Ingat Firman Allah "Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mengejar kamu, meskipun kamu di dalam benteng yang kukuh lagi tinggi." - (An-Nisa':78)
Ingatlah kehidupan dunia ini tidak lain hanya kesenangan yang menipu daya. Dulu muda sekarang tua. Dulu cantik sekarang kedut. Dulu sihat sekarang sakit. Dulu ada gigi sekarang rongak. Dulu berambut hitam sekarang beruban. Dulu tampan sekarang bongkok. Dulu ramai kawan sekarang sendirian. Dulu ada pangkat sekarang pencen. Dulu mewah sekarang muflis.
Ingatlah segala harta benda dan anak pinak tidak akan mengiring kita masuk ke dalam kubur. Mereka hanya iringi hingga ke liang kubur saja. Selepas itu mereka semua balik ke rumah dan enjoy semula. Kita di dalam kubur bersendirian, disemadikan seorang diri di pusara yang senyap sunyi, tinggal di kubur dan tidak akan kembali lagi ke rumah besar kita.
Hanya satu saja yang paling setia mengikut kita dan menemani kita di sana. Itulah pekerjaan dan amalan kita yang ikhlas. Mereka menjadi kawan baik kita. Selepas itu apa lagi yang bersama-sama kita di kubur. Sabda Nabi:
"Apabila mati anak Adam, maka putuslah segala amalannya kecuali 3 perkara: sedekah jariah (sedekah berkekalan), ilmu yang dimanfaatkan dan anaknya yang soleh yang mendoakan."
Yang dikatakan sedekah jariah ialah amalan sedekah yang pahalanya sampai menemuinya walaupun sudah meninggal 500 tahun umpamanya seperti membina masjid, surau, membina rumah anak yatim dan sebagainya. Mengikut setakat mana keikhlasan kita. Ada juga amalan jariah yang tidak dibalas dengan pahala tetapi dosa, contohnya mendirikan dewan tarian, mendirikan panggung wayang dan pentas hiburan semua dosa orang yang mengunjungi tempat itu akan dihantar kepada si mati walaupun telah 600 tahun.
Termasuk dalam kategori ilmu yang dimanfaatkan ialah seperti menulis kitab yang memberikan kesedaran kepada orang dan buku itu digunakan zaman berzaman. Selagi kitab itu digunakan dan faedahnya tersebar luas, pahala akan terus mengalir kepadanya.
Anak soleh yang mendoakan. Sekarang ini anak bernama Saleh tapi amalan tak soleh. Ada juga orang kafir dipanggil Mat Saleh, kenapa agaknya dipanggil Saleh? Seolah-olah menghina istilah 'soleh'. Anak yang beribadat, bersolat dan mendoakan kita, pahalanya juga akan sampai kepada kita lantaran didikan dan asuhan kita dulu. Ibarat pokok yang kering apabila disiram air akan segar semula. Begitulah kita di alam kubur nanti, apabila menerima pahala anak-anak kita kembali segar. Begitulah mustajabnya anak yang soleh mendoakan kedua ibu bapanya.
Menurut hadis, orang yang mati seolah-olah dalam keadaan lemas. Sahabat Nabi bertanya bagaimana untuk menolong mereka dari lemas. Nabi menerangkan hadiahkan Fatihah kepada si mati supaya ia tidak lemas dan mampu untuk timbul.
Ramai beranggapan anak yang soleh ialah anak-anak bergaji besar, berkereta besar, berumah besar, bercakap besar dan berpangkat besar. Semua ini tidak menjamin kesolehannya selagi tidak mempunyai iman kepada Allah dan berbakti kepada ibu dan bapanya.
Akhir sekali didiklah anak-anak kita dari sekarang sebelum terlambat supaya menjadi anak yang soleh. Sebelum peringkat itu, mula-mula kenalah jadikan kita dulu anak yang soleh, anak yang suka mendoakan kedua-dua ibu bapanya.
Sekian, Wallahu a’lam.
Hari itu selepas seminggu beraya dikampung,saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan lebuh raya PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Muar.
Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul di hadapan.
"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaannya.
"Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.
Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.
"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.
"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.
Dia beredar, tetapi cuma setakat di kaki lima . Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"
Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalng dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.
Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya membuka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu.
Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi telah berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun.
"Abang dah kenyang, tapi mungkin Abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang" katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.
Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kasihan di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan kepadanya.
"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak.
Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur.
Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya. Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.
"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.
"Kenapa adik berikan duit abang tadi kepada pengemis tu? Duit tu Abang bagi adik!" kata saya tanpa menjawab pertanyaannya.
"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Emak marah kalau dapat tahu saya mengemis. Kata emak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat kepada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, emak pasti marah. Kata emak, mengemis kerja orang yang tidak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.
Saya sebak, sekali gus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.
"Abang nak beli semua ke?" dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.
"RM25 saja bang."
Selepas dia memasukkan satu persatu kuih ke dalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu. Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapt menjadikan kerjayanya satu penghormatan.
Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!