Menelusuri tawarikh 12 Rabiulawal
Tika maulid dirimu kekasih Rabbi
Muhammad Ibni Abdillah
Hingga terpadam nyalaan sembahan Majusi
Retaknya tiang keagungan Kisra
Tenggelamnya Tasik Sava
Gugurnya si Abrahah pemimpin angkuh bongkak
Tersungkur bersama Mahmudi binatang tunggangan
Dek penangan Ababil makhluk suruhan-Nya.
Membingungkan konco-konco Jahiliah
Menambah sirna jejak tradisi moyang.
Dalam kekalutan jiwa insan
Diruntun syirik
Dibaluti kejahilan
Disiram api assabiyah
Dibelenggu rantai ahmak berhala
Lalu dirimu bermunajat pasrah pada-Nya
Di kamar batuan Hira’.
Hingga gegaran paksaan pelukan si Jibril
Hingga bisa membaca dalam ummi
Bersama risalah mutakhir Rabbul ‘Izzati.
Piagam kudus al-Munawwarah
Menjadi mohor kehidupan insan beriman
Memayungi insan degil Yahudi
Dalam satu kesatuan
Mengukuhkan hadharah Islami
Tanpa hunusan khianat
Tanpa timbangan aniaya
Tanpa kata laknat
Yang terbit dari kesumat.
Telah bangkitkah bangsaku
Dari lamunan daerah selesa
Yang mengungkap warkah kealpaan
Mengundang seribu duri kemalasan
Hingga lupa mana tebingan
Dan mana daratan watan
Hingga lupa mana canang pemanggil
Dan mana tabuh larangan
Di buana penuh helah insan
Beraja nafsu bersahabat syaitan
Tidakkah kaudengar
Bisikan “Ummati, ummati, ummati”
Dari bibir membiru insan kamil kekasih Rabbi
Tika dijemput Izrail
Tetap mekar kasih sayangnya
Wahai bangsaku !
Mari telusuri tawarikh silam
Bersama sisa-sisa penjajah bedebah
Bersama langkah berani si Putum
Bersama hunusan keris Maharajalela
Bersama coretan tinta Abdullah Munsyi
Bersama lompatan tangkas Rentap
Bersama tikaman api jiwa Rosli Dhoby
Bersama titisan darah Tuk Janggut
Bersama laungan gempita Mat Salleh
Memikul beban terpundak di selangka
Dalam menyelami lautan kemerdekaan.
Dalam membangunkan kota 1 Malaysia
Bekali diri dengan akidah subur
Bersama langkah kemas diatur
Bersama ilmu ditadabbur
Bertunjangkan kalimat tayyibah
Agar kita masih bersama bersatu berpadu
Di bawah laungan 1 ummah tersohor Terarkib di galeri maghfirah-Nya.
Hari ulang tahun keputeraan Rasulullah SAW atau Maulidurrasul memberi makna cukup mendalam kepada seluruh umat manusia kerana pada hari itu dunia berubah daripada kegelapan kepada cahaya Ilahi. Kelahiran Rasulullah SAW umpama lampu yang menyuluh kegelapan. Bagindalah yang menunjukkan jalan kebenaran, cara kehidupan yang sempurna dan kaedah untuk mengecapi kejayaan di dunia dan akhirat. Rasulullah SAW mempunyai peribadi yang sangat mulia. Oleh itu, Baginda diberi gelaran al-Amin, biarpun di kalangan musuh Islam sendiri. Malah, cerdik pandai, sasterawan, ahli politik, pemimpin, ahli falsafah di barat dan seluruh dunia hingga kini masih tidak dapat menafikan sumbangan Rasulullah SAW dalam membentuk masyarakat sempurna lagi syumul. Sila baca buku ‘The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History’ oleh Michael H. Hart.
Rasulullah SAW diutus bersama-sama dengan akhlaknya yang sempurna, sebagai asas moral kepada semua lapisan masyarakat. Walaupun baginda dilahirkan sebagai manusia biasa, martabatnya tiada siapa yang dapat menyamainya kerana baginda adalah pembawa rahmat ke seluruh alam, orang yang paling dihormati daripada sekalian makhluk dan penutup bagi sekalian nabi dan seorang rasul, insan kamil dan sempurna, kekasih Allah dan kekasih umat manusia yang sentiasa diingati.
Keperibadian Rasulullah SAW tentang kebenaran dan keadilan tiada tolok bandingnya. Ini kerana baginda mengajar manusia mencakupi bidang kemanusiaan, pengadilan, sains, teknologi, baik kepada manusia mahupun terhadap binatang; sistem kemasyarakatan yang sempurna; hingga kepada perkara ghaib, iaitu berita baik tentang syurga dan amaran tentang neraka yang tidak dapat dicapai oleh akal manusia. Setiap perbuatan dan amalannya adalah sunnahnya dan semuanya ini sangat penting dimanifestasikan dalam tamadun insan demi kejayaan yang abadi di dunia dan akhirat.
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيْ رَسُوْلِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُوْاآللهَ وَالْيَوْمَ آْلأَخِرَ وَذَكَرَآللهَ كَثِيْرَا
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Al-Ahzab: 21)
Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap.
Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah, "Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al-Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."
Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.
"Rasulullah akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu.
Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Pada saat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedangkan di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya. Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.
"Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk,
"Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.
Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"
"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.
Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.
"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut," kata Rasulullah,
Fatimah pun menahan ledakan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.
"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.
"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.
Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.
"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.
"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"
"Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.
Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan-lahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.
"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh.
Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.
"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.
"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.
"Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."
Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.
“Peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antara kamu."
Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.
"Umatku, umatku, umatku"
Kasih Rasulullah kepada kita digambarkan Allah dalam beberapa surah. Antaranya:
لَقَدْ جَآءَ كُمْ رَسُوْلٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيْزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيْصٌ عَلَيْكُمْ بِآلْمُؤْمِنِيْنَ رَءُوْفٌ رَّحِيْمٌ
Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.( Surah at-Taubah: 128 )
إِنْ تُعَذِّ بْهُمْ فَإِنَهُمْ عِبَدُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ آْلعَزِيْزُآلْحَكِيْمُ
Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al_maidah:118)
Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Hamba yang belajar menyintai Allah dan Rasul akan dibalas cinta mereka dengan cinta Allah. Cinta Allah yang berganda pada hambanya diiringkan dengan maghfirah, rahmat dan berkat. Cinta Allah berkekalan sepanjang hayat.
Sedangkan nabi kekasih Allah yang dijanjikan amalnya diterima oleh Allah pun merasai kesakitan yang teramat sangat ketika menghadapi sakaratul maut. Apatah lagi kita hamba-Nya yang hina, jauh dan kerdil ini. Ya Allah, terimalah taubat kami. Jauhkanlah kami dari siksa api neraka-Mu, ya Allah..
اَللَّهُمَ نَجِّحْنِيْ ( نَجِّحْ وَلَدِيْ (نام) ) فِيْ اْلإِ مْتِحَانِ
وَاْلإِخْتِبَارِ بِسِرِّ قَوْلِكَ الْقَدِيْمَ فِيْ حَقِّ خَلِيْلِكَ إِبْرَاهِيْمَ عَلَيْهِ السَّلاَم،
وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيْمَ رَبُّه‘ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّيْ جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا
“Ya Allah, luluskanlah aku (anakku …..) dalam ujian dan peperiksaan dengan rahsia firman-Mu yang qadim sempena kesayangan-Mu IBRAHIM, ketika diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimat, lalu baginda lulus sehingga menjadi imam bagi sekalian manusia”.
يَااَللهُ يَاوَاحِدُ يَامَوْجُوْدُ يَاجَوَّادُ يَابَاسِطُ يَاكَرِيْمُ يَاوَهَّابُ يَاذَا الْطَوْلِ يَاغَنِيُّ يَامُغْنِىْ يَافَتَّاحُ يَارَزَّاقُ يَاعَلِيْمُ يَاحَكِيْمُ يَاحَيُّ يَاقَيُّوْمُ يَارَحْمَنُ يَارَحِيْمُ يَا بَدِيْعَ السَّمواتِ وَالاَرْضِ يَاذَاالْجَلاَلِ وَاْلاِكْرَامِ يَاحَنَّانُ يَامَنَّانُ نَفِّحْنِىْ مِنْكَ بِنَفْحَةِ خَيْرٍ تُغْنِيْنِيْ بِهَا عَمَّنْ سِوَاكَ اِنْ تَسْتَفْتِحُوْا فَقَدْجَآءَكُمُ الْفَتْحُ اِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِيْنًاط نَصْرٌمِّنَ اللهِ وَفَتْحٌ قَرِيْبٌط اَللَّهُمَّ يَاغَنِيُّ يَا حَمِيْدُ يَا مُبْدِىءُ يَامُعِيْدُ يَاوَدُوْدُ يَاذَاالْعَرْشِ الْمَجِيْدِ يَافَعَّالاً لِّمَا يُرِيْدُ اِكْفِنِىْ بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَاَغْنِيْنِىْ بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ وَاحْفِظْنِىْ بِمَا حَفِظْتَ بِهِ الذِّكْرَا وَانْصُرْنِىْ بِمَا نَصَرْتَ بِهِ الرُّسُلَ اِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌط
Bilah-bilah hari berlalu
Terperosok bangsaku
Bersama detik jam berlari
Terkelu lidah tanpa kata-kata
Mana pergi nusaku
Menerjah arus saki baki kehidupan
Teraba-raba mencari identiti diri
Mengeja pantas kemerdekaan
Tapi kelu lidah haram jadah
Minda mengakses nikmat madu kemerdekaan.
Mata masih buta membeza
Antara dosa dan agama
Antara Toyota dan Waja
Antara CD lucah dan budi bertatah
Antara ecstacy dan mentaliti diri
Antara selamat dan mudarat
Antara nafsu dan hati
Antara fantasi dan realiti
Angkara alpa kelibat kononnya merdeka.
Di medan pusaka ad-din yang syumul ini
Kaugegarkan buana dengan ikrar keramat
Innassolati wanusuki wamah yaa yaa
Wa mamaa ti lillahi rabbil ‘alamiin
Tetapi hanya dipinggir dusta lidah bercabang
Dimuntah hati yang benci
Dipagari bujukan musuh temurun
Bapa kita Adam alaihissalam.
Janganlah
Janganlah hendaknya
Alunan Kau di puncak gemilang
Meniti di bibir munafik
Menjadi siulan di mulut hipokrasi
Menjadi paparan di mata tanpa visi
Sekadar menyenangkan hati
Tapi muflis personaliti
Serta wandu peribadi
Mana anak nusaku
Hilang dalam deretan kibaran jalur gemilang
Masih tercari dengan longlai
Mutiara nikmat merdeka
Bersama halwa manisan minda merdeka
Masih bertempik alunan lagu kecundang
Aku akan tetap jadi petani
Aku akan tetap jadi buruh kasar
Aku akan tetap jadi nelayan
Aku akan tetap menagih kasihan
Biar kais pagi makan pagi
Biar kais petang makan petang
Persetankan dengan pengetahuan
Pedulikan dengan kecemerlangan
Natijah berbekalkan azimat keparat
Ulat dalam batu lagikan hidup.
Anak-anak buah hati pengarang jantung
Janganlah leka berenang di lautan selesa
Bangkit dan sedarlah
Bumi merdeka ini
Dahagakan belaian ilmuan sarwa
Rindukan madah lidah pujangga
Dambakan sentuhan sarjana perkasa
Ketahui dan ingatlah
Firman Yang Maha Pencipta
Engkau adalah sebaik-baik yang tercipta
Dan launglah merdeka ini
Bersama reda-Nya.
Nukilan Patriotik : Pak Ngah
30 Ogos 2006
Sentuhan Sakti Seorang Lilin
Muhammad Ibni Abdillah,
Junjungan besar berpesan:
Anak-anak itu ,
Umpama bentangan putih tanpa kelaran,
Meniarap, merangkak, menatih,
Meniti bilah-bilah hari mendatang,
Dalam ketandusan sinar bintang kehidupan,
Menunggu sentuhan sakti seorang lilin sejati.
Bermula jeritan puisi megah si Jalak,
Bangun seorang insan kerdil seorang lilin,
Melangkah sujud bersama alunan iman dini hari.
Cahaya dari ufuk timur,
Merempuh titisan embun pagi,
Bersama langkah semangat seorang lilin,
Bersulamkan akal bestari,
Berbungakan hati budi,
Berbuahkan azam hakiki,
Mengikis lapisan kedayusan diri putik insani.
Sentuhan sakti seorang lilin,
Bersama rasa kasih di hati,
Bijak mengatur tari dan nyanyi,
Mengukir arca insan yang belum mengerti,
Tentang hakikat diri,
Tentang martabat diri,
Tentang haluan diri,
Dan tentang erti hidup ini.
Sentuhan sakti seorang lilin,
Bersama titisan keringat semangat,
Tanpa berjurikan habuan,
Menabur benih-benih keinsanan,
Dalam diri anak bangsa.
Kita surih madah seorang pujangga,
Ternukil dalam untaian aksara puitisnya,
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah Negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.
Kini,
Sentuhan sakti seorang lilin,
Kian pudar dipersadakan,
Lantaran tusukan racun berbisa,
Lantaran kedewasaan dunia,
Lantaran hasutan musuh durjana,
Mengaburi dalamnya lautan jasa,
Sentuhan sakti seorang lilin.
Nukilan Puitis :
Pak Ngah 2006
Menelusuri tawarikh
Bersama sisa-sisa penjajah bedebah
Bersama tapak langkah pengkhianat si Putum
Bersama hunusan keris Maharajalela
Bersama coretan tinta Abdullah Munsyi
Bersama lompatan tangkas Rentap
Bersama tikaman api jiwa Rosli Dhoby
Bersama titisan darah Tuk Janggut
Memikul beban terpundak di selangka
Dalam menyelami lautan kemerdekaan.
Telah bangkitkah bangsaku
Dari lamunan daerah selesa
Yang mengungkap warkah kealpaan
Mengundang seribu duri kemalasan
Hingga lupa mana tebingan
Dan mana daratan watan
Hingga lupa mana canang pemanggil
Dan mana tabuh larangan
Di buana penuh helah insan
Beraja nafsu bersahabat syaitan.
Jangan alunkan lagu merdeka
Menjadi lagu menderhaka
Menjunjung kerabat menjadi raja
Yang kononnya mulia
Yang kononnya setia
Yang kononnya berjasa
Yang kononnya berkuasa
Yang kononnya pujangga
Walaupun tidak bernama
Jangan alunkan lagu merdeka
Menjadi lagu menderhaka
Meminggir yang hebat menjadi bentara
Yang diherdik
Yang ditengking
Yang dicaci
Yang dikeji
Yang dicerca
Yang dimurka
Walaupun bijak ternama
Bangsaku yang lupa
Jangan kau butakan mata
Melihat tari sumbang
Anak bangsa yang kononnya merdeka
Bangsaku yang lara
Jangankau tulikan telinga
Mendengar suara sumbang derhaka
Anak bangsa yang kononnya beragama
Bangsaku yang tuna minda
Jangan kau lumpuhkan tulang hasta
Menyentuh tubuh zahir
Anak bangsa yang kononnya bertenaga
Jangan alunkan lagu merdeka
Sebelum bingkas bangkit menyusun suara
Sebelum tangkas mengatur langkah pencak
Sebelum bijak mencanai mendidik minda
Di bumi ini
Bumi Malaysia yang merdeka.
Nukilan Patriotik : Pak Ngah
30 Ogos 2006
Anak watan tercinta,
Walaupun ditimbus runtuhan Kota Melaka,
Kalimat berdaulat,
Datuk Laksamana Hang Tuah,
Masih meniti di bibir,
Masih tersemat dihati,
Masih terpahat di arkib bumi,
Untuk menilai potret merdeka ini.
Anak watan tercinta,
Haruman bunyi laungan merdeka,
Terbit dari bibir ayahanda tercinta,
Menitik noktah bicara angkuh,
Membidas hujah dendangan nista,
Meraut wajah ceria anak merdeka.
Anak watan tercinta,
Merdekakah kita
Jika agama tidak dibela ?
Merdekakah kita
Jika minda masih terjajah ?
Merdekakah kita
Jika tari laku tiada sahsiah ?
Merdekakah kita
Jika budaya diri disanggah ?
Merdekakah kita
Jika pemimpin minta disembah ?
Anak watan tercinta,
Andai ukiran masih bernada nista,
Layakkah kita mendabik dada merdeka,
Di suaka bumi tercinta ini,
Yang masih berbumbungkan,
Kajang celaka hak milik mereka.
Anak watan tercinta,
Jeritlah laungan keramat merdeka,
Dengan lantang dan penuh gah,
Andai agama terbela,
Andai minda mampu menerjah,
Andai tari laku bermaruah,
Andai budaya diri berdiri megah,
Andai pemimpin berhikmah.
Anak watan tercinta,
Jangan biarkan kita terus bertatih,
Meniti jambatan kehidupan,
Mendaki puncak teknologi,
Merenangi lautan globalisasi,
Terentang, terbentang, terpacak,
Bersama duri diskriminasi.
Anak watan tercinta,
Biarlah kita bermula dengan telentang,
Terus meniarap,
Terus merangkak,
Terus bertatih,
Terus berjalan,
Dan terus berlari,
Di bumi tercinta,
Bersulam kalimat keramat tersohor,
M.E.R.D.E.KA.
Merdeka !
Merdeka !
Merdeka !
Nukilan Patriotik : Pak Ngah
12 Ogos 2005
Lahirmu dengan aksara M.A.L.A.Y.A.
Penuh ceria dan gah
Martabatmu tinggi dan penuh mewah
Melambai tangan-tangan rakus asing
Meragut dan merobek keayuanmu.
Titis demi titis
Tinta merah pribumi mengalir hiba
Lantaran racun penjajah yang durjana
Tapi mata anak-anakmu longlai tidak bermaya.
Atas bara api kesedaran yang membuak
Tumbuh buluh runcingan memagari bumi ini
Bersama nadi dan famili
Dengan laungan kalimat,
‘BUMI INI MILIK KAMI!’.
Diari penuh keperitan,
Penuh kesengsaraan lagi derita
Menjadi pembakar jiwa dan nurani
Membangun kembali tanah ini
Agar mampu tegak dan ampuh berdiri.
Sinar hijri 4 Safar 1377
Gandingan tanggal keramat masihi 31 Ogos 1957
Satu lagu laungan bernada lantang
Telah memadam padang penjajahan
Telah memadam api penindasan
Telah mencantas pohon kehalobaan
Telah meruntuh tembok keegoan
Menjadi taman kemerdekaan
Dengan nama yang bersemarak M.A.L.A.Y.S.I.A.
Dan lagu ngeri itu telah dimatikan.
Hasil sentuhan seniman yang berjiwa merdeka,
Flora konkrit menjadi tanaman komoditi,
Fauna teknologi bebas berkeliaran ,
Kini anak watanmu
Bisa tersenyum,
Kini anak watanmu,
Bisa berpesta,
Kini anak watanmu,
Gah berlari bersama minda jaya
Pada hamparan dunia milik Ilahi.
Kini tangan kesyukuran ditadahkan
Agar bibliografi silam
Yang penuh kedukaan
Yang penuh kesedihan
Yang penuh kengerian
Tidak akan bertandang dan berulang.
Abadikan laungan
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Nukilan Patriotik : Pak Ngah
29 Ogos 2004